Suzuki Katana 125R – projek ‘one-off’ atau versi pengeluaran semasa?

Pada penghujung tahun 2019 yang lalu, majalah Young Machine telah membuat kejutan apabila mengumumkan bahawa mereka akan bekerjasama dengan Suzuki dan Yoshimura dalam mengeluarkan model terbaharu iaitu Suzuki Katana 125R.

Malah dalam artikel yang disiarkan di dalam laman sesawang mereka bertarikh 19hb. Disember 2019, Young Machine turut memaparkan lakaran awal imej Suzuki Katana 125R yang kelihatan begitu sporty, tidak jauh berbeza dengan model semasa Katana.

Bagaimanapun oleh kerana maklumat yang sangat terhad, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada model Katana 125R itu adalah versi pengeluaran sebenar, atau hanyalah sebuah projek ‘one-off’ untuk pameran di acara permotoran tahunan.

Jika ianya merupakan model pengeluaran untuk jualan di pasaran semasa, Suzuki Katana 125R dijangkakan hanya eksklusif untuk pasaran Jepun sahaja. Kemungkinan besar ianya merupakan model edisi terhad yang dikeluarkan dalam jumlah tertentu.

Kemungkinan lain ialah projek Suzuki Katana 125R di antara Young Machine, Suzuki dan Yoshimura ini hanyalah permulaan awal, seperti mana pertunjukan sebuah model konsep, bagi mendapatkan maklumbalas daripada para peminat terlebih dahulu.

Dari sudut yang lain, jika benar Suzuki mahu mengeluarkan sebuah model terbaharu seperti Katana 125 atau Katana 150, ianya merupakan projek yang besar dan memerlukan penelitian yang mendalam, terutamanya terhadap penerimaan pasaran.

Tambahan pula ketika ini Suzuki sudah pun mempunyai model-model naked dalam segmen yang sama seperti Suzuki GSX-S125 dan Suzuki GSX-S150. Kecuali jika Katana 125 dan Katana 150 merupakan versi lebih premium dan lebih berprestasi.

Persoalannya ialah benarkah Suzuki akan mengeluarkan model terbaharu Katana 125 untuk pasaran seperti Jepun dan Eropah, sementara Katana 150 untuk pasaran Asia terutamanya di rantau ASEAN? Sukar untuk menjawab persoalan ini sebenarnya.

Buat masa sekarang, kita perlu menunggu terlebih dahulu kemunculan Suzuki Katana 125R yang sedang dibangunkan oleh Young Machine, Suzuki dan Yoshimura. Selepas itu pastinya Suzuki akan mengeluarkan kenyataan rasmi yang lebih meyakinkan.

Sumber : Young Machine

(Visited 6,455 times, 9 visits today)