Suzuki GSX-R150 tampil sporty dan berprestasi, mungkinkah akan masuk ke pasaran Malaysia?

Sejak Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. menutup kilang mereka di Prai, Pulau Pinang pada tahun 2016 yang lalu, secara rasminya tiada lagi penjualan model-model motosikal keluaran Suzuki dalam segmen di bawah 250cc. Sebaliknya syarikat tersebut hanya menawarkan model-model motosikal besar dan berkuasa tinggi sahaja.

Namun semua itu dijangka akan berubah tidak lama lagi, apabila Suzuki Assemblers telah pun menutup operasi perniagaan mereka di Malaysia berkuatkuasa 01hb. Julai 2020, dan telah diambil alih oleh syarikat baharu Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. (SMSB). Menurut maklumat awal, SMSB dikatakan bakal membawa khabar berita gembira.

Antaranya ialah pengenalan model-model motosikal baharu untuk pasaran tempatan yang lebih mesra pengguna, antaranya seperti Suzuki GSX-R150. Pasaran Malaysia sebelum ini terlepas kemasukan model sport bike full fairing berkenaan, yang sejak beberapa tahun yang lalu dijual di pasaran Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina.

Berdasarkan pemerhatian terhadap kecenderungan peminat motosikal tempatan ketika ini, Suzuki GSX-R150 dijangka akan mendapat sambutan, kerana penampilannya yang sporty dan enjinnya yang berprestasi. Ciri-ciri moden dan canggih yang melengkapi model tersebut juga pastinya akan menjadi daya penarik untuk setiap peminatnya.

Suzuki GSX-R150 dikuasakan enjin 147.3cc (water-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve) dengan sistem Fuel Injection dan transmisi enam kelajuan, dan menawarkan kuasa maksimum 18.9hp @ 10,500rpm dengan tork puncak 14Nm @ 9,000rpm. Dengan berat hanya 131 kg, kelajuan maksimumnya pasti akan memuaskan hati penunggangnya.

Suzuki GSX-R150 turut dilengkapi ciri-ciri menarik seperti sistem penghidup tanpa kunci (Key-Less Ignition System With New LED Lamp Ring), sistem penghidup mudah (Easy Start System), panel meter digital (New LCD Speedometer Backlight), lampu pemberi isyarat kecemasan (Hazard Lamp) dan pilihan varian dengan sistem brek ABS.

Walaupun masih belum ada sebarang pengesahan rasmi daripada SMSB, Suzuki GSX-R150 apabila dilancarkan nanti pasti akan memeriahkan dunia permotoran tanah air, sekaligus memberi pilihan yang lebih luas kepada pengguna. Lebih menarik lagi, kembarnya Suzuki GSX-S150 juga mempunyai kemungkinan akan turut dilancarkan.

(Visited 3,595 times, 2 visits today)