Kawasaki Z125 Pro 2021 diperkenalkan, versi terakhir di pasaran Jepun

Untuk pasaran domestik Jepun, Kawasaki baru saja memperkenalkan model cilik Z125 Pro model tahun 2021. Model tersebut hanya menerima kemaskini skim warna baharu, dalam dua pilihan warna iaitu Pearl Night Shade Teal dan Metallic Flat Spark Black.

Menurut Kawasaki, selepas model tahun 2021, mereka tiada lagi perancangan untuk memperkenalkan model tersebut di pasaran Jepun. Apa yang boleh difahami, Z125 Pro 2021 merupakan model terakhir yang akan ditawarkan di pasaran negara asalnya.

Kawasaki Z125 Pro 2021 dilengkapi enjin bersesaran 124cc (air-cooled, 4-stroke, single-cylinder, SOHC, 2-valve) dengan kotak gear empat kelajuan, menghasilkan kuasa maksimum 9.7PS @ 8,000rpm dengan tork maksimum 9.6Nm @ 6,000rpm.

Walaupun bersaiz kecil, Z125 Pro mempunyai tangki bahan api dengan kapasiti penuh 7.4 liter, dengan beratnya hanya 102 kg. Model tersebut juga mudah dikendalikan dan lincah, dilengkapi suspensi depan jenis terbalik dan suspensi belakang monoshock.

Sistem brek walaupun tidak dilengkapi sistem ABS, tetap menawarkan prestasi yang memuaskan dengan kehadiran brek cakera depan 200 mm dan belakang 184 mm yang mantap. Kapasiti tunggangan pula cukup untuk membawa seorang penumpang.

Untuk pasaran Jepun, Kawasaki Z125 Pro 2021 ditawarkan pada harga 352,000 Yen, bersamaan RM 13,919.83 mengikut kadar semasa. Model tersebut dijangka akan tiba di bilik pameran wakil pengedar secara rasmi pada tarikh 01hb. Oktober 2020.