Kawasaki buka tempahan Ninja ZX-6R 2021, versi perlumbaan untuk pasaran Jepun

Pada tarikh 15hb. September 2020 baru-baru ini, Kawasaki telah mengumumkan tempahan untuk model Ninja ZX-6R 2021 (Race Only Model) telah dibuka untuk pasaran domestik Jepun. Merupakan versi perlumbaan, model tersebut tidak boleh digunakan di jalan raya biasa atau di mana-mana tempat kegunaan awam.

Menurut Kawasaki, Ninja ZX-6R 2021 versi perlumbaan itu dilengkapi enjin berprestasi tinggi, dengan ciri-ciri utamanya seperti sistem suntikan bahan api dengan penyuntik berkembar, dilengkapi penunjuk gear dan suspensi depan SHOWA Big Piston Front Fork (BPF). Model tersebut juga dimaklumkan tidak dilengkapi sistem immobilizer.

Enjinnya bersesaran 599cc (Water-cooled, 4-stroke, in-line 4-cylinder, DOHC, 4-valve) dengan transmisi enam kelajuan, dan mempunyai berat 191 kg. Jumlah maksimum kuasa dan tork enjin bagaimanapun tidak didedahkan. Jentera tersebut memiliki ketinggian tempat duduk 815 mm dan kapasiti penuh tangki bahan api 17 liter.

Kawasaki Ninja ZX-6R 2021 versi perlumbaan itu hanya tersedia dalam warna Lime Green, dan ditawarkan pada harga 946,000 Yen, bersamaan RM 37,223.90 mengikut kadar semasa. Tempahan dibuka bermula dari tarikh 15hb. September 2020 sehingga 22hb. Oktober 2020. Jadual penghantaran akan bermula selepas bulan Mac 2021.

(Visited 96 times, 1 visits today)