Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 akan masuk ke pasaran Mexico

Merujuk kepada laporan daripada laman sesawang Motociclo.com.mx yang bertarikh 14hb. September 2020 baru-baru ini, Kawasaki Mexico dikatakan telah mengumumkan untuk melancarkan model sensasi Ninja ZX-25R 2021 untuk pasaran Mexico.

Menurut Kawasaki Mexico, terdapat banyak permintaan daripada peminat di negara berkenaan, oleh itu mereka telah berusaha keras mendapatkan kebenaran daripada Kawasaki Heavy Industries Ltd. di Jepun bagi membawa masuk model tersebut.

Apabila dilancarkan secara rasmi nanti, Mexico mungkin akan menjadi satu-satunya negara di rantau Amerika yang menerima kehadiran model itu. Bagaimanapun dikatakan hanya pelanggan bertuah sahaja akan berjaya memiliki Ninja ZX-25R di pasaran Mexico, apabila hanya 20 unit akan tiba pada bulan Februari 2021.

Model tersebut akan ditawarkan dalam warna tunggal KRT Edition, sementara harganya dikatakan berada di antara harga semasa Ninja 650 ABS dan Ninja ZX-6R. Sebagai rujukan, harga Ninja 650 ABS 2020 di pasaran Mexico adalah sebanyak $ 209,990 MXN, bersamaan RM 41,227.86 mengikut kadar tukaran semasa.

Kawasaki Mexico akan memulakan sesi pra-jualan untuk 20 unit Ninja ZX-25R 2021 dalam bulan Disember 2020, dan menggesa pelanggan yang berminat untuk sentiasa mendapatkan maklumat terkini dari laman Kawasaki.com.mx dan dari laman sosial mereka, atau berhubung dengan wakil penjual rasmi Kawasaki yang berdekatan.

Adakah Kawasaki Mexico akan berjaya membawa masuk 20 unit Ninja ZX-25R? Sama-sama kita nantikan. Kawasaki New Zealand juga pernah mengumumkan untuk membawa masuk model tersebut, namun sekarang tiada sebarang khabar berita.

(Visited 69 times, 1 visits today)