Kawasaki Ninja 650 2021 di pasaran India terima kemaskini warna KRT Edition terbaharu

Untuk musim jualan tahun 2020, Kawasaki telah memperkenalkan skim warna KRT Edition terbaharu pada model Ninja ZX-6R 2021 di pasaran Indonesia, kemudiannya diikuti oleh model Ninja 400 2021 di pasaran Thailand, Jepun dan Taiwan.

Untuk pasaran India, kini tiba pula giliran Kawasaki Ninja 650 2021 untuk menerima skim warna KRT Edition terbaharu itu, yang menjadikan penampilan terkininya lebih menarik dan sporty. Kekal dengan warna asas hijau dan hitam, warna baharu itu kini didatangkan bersama-sama jalur merah dan warna putih di bahagian bawah fairing.

Kawasaki Ninja 650 2021 di pasaran India pada masa yang sama turut menerima kemaskini enjin terbaharu bertaraf BS6 yang lebih mesra alam. Piawaian BS6 telah menggantikan piawaian BS4, setelah kerajaan India mengetepikan piawaian BS5.

Masih dikuasakan enjin bersesaran 649cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC 8 valves), kuasa yang dihasilkan berada pada angka 68PS @ 8,000rpm dengan tork 64Nm @ 6,700rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan.

Kawasaki Ninja 650 2021 bertaraf BS6 itu turut dilengkapi panel instrumen digital TFT, teknologi Bluetooth untuk sambungan telefon pintar, lampu depan LED, kemaskini baharu cermin penghadang angin dan tayar baharu Dunlop Sportmax Roadsport 2.

Spesifikasi lain untuk model berkenaan termasuklah ketinggian tempat duduk 790 mm, tangki bahan api 15 liter, berat 196 kg (curb mass), fork depan teleskopik 41 mm, suspensi belakang Horizontal Back-link boleh laras dan sistem brek ABS dua saluran.

(Visited 111 times, 1 visits today)