Suzuki GSX-R1000R 100th Anniversary Edition 2021 diperkenalkan, terhad 100 unit untuk pasaran UK

Suzuki UK pada tarikh 09hb. September 2020 baru-baru ini telah memperkenalkan model istimewa Suzuki GSX-R1000R 100th Anniversary Edition 2021, bagi meraikan sambutan ulangtahun buat kali yang ke-100 untuk syarikat berkenaan.

Untuk pasaran UK, Suzuki GSX-R1000R 100th Anniversary Edition hanya dikeluarkan dalam jumlah terhad 100 unit sahaja. Bagaimanapun model tersebut turut ditawarkan di pasaran USA, bersama-sama dua lagi model iaitu Suzuki GSX-R750 100th Anniversary Edition 2021 dan Suzuki GSX-R600 100th Anniversary Edition 2021.

Harga GSX-R1000R 100th Anniversary Edition untuk pasaran UK adalah sebanyak £16,999, bersamaan RM90,389.00 mengikut kadar semasa. Jualan rasminya akan bermula pada Oktober depan. Model tersebut tampil dengan skim warna retro biru dan perak yang diinspirasikan daripada jentera MotoGP GSX-RR pada era tahun 1960an.

Menurut Suzuki, GSX-R1000R 100th Anniversary Edition bukan hanya sekadar berkongsi warna dengan jentera MotoGP 2020, malah juga menggunakan sistem pemasaan injap berubah-ubah yang sama untuk meningkatkan puncak kuasa dan daya tork. Ini membolehkannya mencapai kuasa maksimum 202PS dengan tork 117.60Nm.

Lebih dari itu, model tersebut turut dilengkapi dengan rangkaian sistem elektronik yang komprehensif, yang mana ianya termasuklah 10 traction control modes, quickshifter dan auto-blipper, launch control dan lean angle-sensitive ABS.

Sedikit imbasan mengenai sejarah Suzuki, pada tahun 2020 ini genaplah 100 tahun penubuhan syarikat Suzuki Loom Manufacturing Co. Motosikal pertama dikeluarkan pada tahun 1952, dikenali dengan nama Power Free, dan dua tahun kemudian nama syarikat itu ditukar kepada Suzuki Motor Co. Ltd.

Sejak dari itu Suzuki telah mengeluarkan antara beberapa model motosikal paling ikonik bagi abad ke-20 dan ke-21, termasuklah siri lengkap GSX-R, terutamanya model GSX-R750F 1985 dan GSX-R1000 K1 2001, diikuti model GT750, GSX1100S Katana dan RGV250, dan tidak dilupakan ialah Bandit dan model legenda Hayabusa.

(Visited 702 times, 1 visits today)