Unit pertama Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 kini tiba di pasaran Vietnam, dibawa masuk oleh pengimport bebas

Laman blog MotoSaigon.vn kelmarin melaporkan bahawa motosikal sport bike 250cc empat silinder idaman ramai Kawasaki Ninja ZX-25R 2021, secara rasminya telah dibawa masuk ke pasaran Vietnam. Ianya merupakan unit pertama yang sampai di pasaran negara tersebut, diimport secara terus dari Indonesia.

Namun begitu model berkenaan bukanlah dilancarkan oleh Kawasaki, seperti mana ianya dilancarkan di pasaran Indonesia, Thailand, Jepun dan juga Filipina. Sebaliknya model berwarna hitam dalam versi Standard itu dibawa masuk oleh pengimport bebas, kira-kira dua bulan selepas ianya dilancarkan di pasaran Indonesia.

Harga untuk model tersebut ketika ini masih belum diketahui, kerana masih menunggu proses pendaftaran selanjutnya. Berdasarkan jangkaan awal, harga Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 di pasaran Vietnam akan mencecah sehingga 200,000,000 VND, bersamaan dengan nilai RM 35,815.18 mengikut kadar tukaran semasa.

Menurut MotoSaigon lagi, ketika ini mereka juga tidak mempunyai sebarang maklumat bilakah Kawasaki Ninja ZX-25R akan dilancarkan secara rasmi di pasaran Vietnam. Jika tidak dilancarkan sekali pun, pasaran Vietnam sama seperti pasaran Singapura, bebas mengimport model-model motosikal terbaharu melalui pengimport bebas.

Untuk pasaran Malaysia pula, kemungkinan model ini untuk dilancarkan secara rasmi agak tipis, kerana harganya yang boleh menjangkau sehingga RM 40k. Namun begitu sama seperti di pasaran Vietnam, pengimport bebas di pasaran Malaysia juga boleh mencuba untuk membawa masuk model ini, jika tiada sebarang kekangan.

Namun pada harga yang dirasakan terlalu tinggi, mampukah Ninja ZX-25R menarik perhatian pembeli di pasaran Malaysia? Rasanya berbaloi kerana ianya dilengkapi enjin 250cc empat silinder dengan kuasa maksimum 51PS @ 15,500rpm (dengan Ram Air) (50PS tanpa Ram Air), bersama-sama tork puncak 22.9Nm @ 14,500rpm.

Ninja ZX-25R turut dilengkapi Showa SFF Big Piston USD adjustable forks, horizontal backlink adjustable rear suspension, quick shifter, ABS, power modes, traction control, aluminium swingarm, monobloc calliper radially mounted dual piston front brakes dan high-tensile steel chassis yang menggunakan teknologi daripada model Ninja H2.

Barang baik tidak murah, dan ianya boleh dikatakan secara jelas merujuk kepada model Ninja ZX-25R ini. Diharapkan Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. mempunyai keberanian untuk membawa masuk Ninja ZX-25R ke pasaran Malaysia, agar ianya dapat bersaing dengan model Honda CBR250RR 2021 yang bakal dilancarkan.

(Visited 1,420 times, 1 visits today)