Motorini Box 125i di pasaran UK, dilengkapi enjin 125cc

Jenama Motorini kedengaran seperti sebuah jenama pengeluar motosikal dari negara Itali. Namun begitu berdasarkan carian di dalam internet, motosikal keluaran jenama tersebut dipercayai berasal dari negara China. Apatah lagi di pasaran UK, model-model keluaran Motorini dijual bersama-sama satu lagi jenama motosikal China iaitu Zontes.

Salah sebuah model motosikal menarik keluaran syarikat berkenaan ialah Motorini Box 125i, ditawarkan di pasaran UK ketika ini pada harga sebanyak 2699.99 Pound Sterling, bersamaan nilai RM 14,348.82 mengikut kadar tukaran semasa. Motosikal cruiser tersebut sememangnya mempunyai penampilan yang cukup bergaya dan elegan.

Bagaimanapun apa yang mengejutkan ialah enjinnya mempunyai sesaran hanya 125cc (4 Stroke Parallel Twin Cylinder) sahaja, sedangkan ianya kelihatan seperti sebuah motosikal dengan enjin yang lebih besar. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 11.3hp @ 9,000rpm, manakala maklumat mengenai jumlah tork tidak diperolehi.

Motorini Box 125i didatangkan ciri-ciri dan spesifikasi seperti paparan instrumen digital, lampu signal dan lampu belakang LED, fork depan jenis terbalik, brek depan dengan cakera berkembar, brek cakera belakang tunggal, ketinggian tempat duduk hanya 710 mm, tangki bahan api 19 liter, sistem ekzos berkembar dan berat kering 165 kg.

Pilihan warna tunggal yang tersedia ialah Thunder Grey, dengan tempoh jaminan yang diberikan selama dua tahun. Secara keseluruhannya, pakej yang ditawarkan oleh model Motorini Box 125i ini boleh dikatakan agak impresif, membolehkan pemiliknya merasai gaya tunggangan bagaikan sebuah model cruiser yang lebih besar dan lebih berkuasa.

(Visited 3,042 times, 1 visits today)