Yamaha Nouvo model tahun 2002, pernah mewarnai dunia skuter di pasaran Malaysia

Di pasaran Malaysia sekitar tahun 2002 yang lalu, sebuah model skuter terbaharu yang diberi nama Yamaha Nouvo (Yamaha Nouvo AT115) telah diperkenalkan. Menurut sumber dari Wikipedia, Yamaha Nouvo turut dipasarkan di beberapa buah negara ASEAN selain Malaysia, yang mana ianya termasuk Indonesia, Thailand dan lain-lain.

Yamaha Nouvo dibangunkan dengan kerangka yang mempunyai tahap ketegaran sama seperti model kapcai, bagi memberikan prestasi tunggangan dan pengendalian sebaik motosikal kapcai. Pada masa yang sama ianya menawarkan keselesaan sebuah model skuter yang dilengkapi enjin empat lejang 115cc dengan transmisi automatik CVT.

Enjin Yamaha Nouvo hadir dengan ciri-ciri seperti sistem penyejukan udara, SOHC, dua injap, silinder tunggal, sistem penyampaian bahan api karburator, dan menawarkan kuasa maksimum 8.9PS @ 8,000rpm dengan tork puncak 8.63Nm @ 7,000rpm. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 4.9 liter, manakala berat kering 96 kg.

Yamaha Nouvo boleh dikatakan mempunyai reka bentuk yang agak menarik, dengan penampilan unik seakan-akan sebuah model motosikal kapcai. Namun ianya masih menggunakan rim lidi berukuran 16 inci berbanding kapcai yang menggunakan rim standard 17 inci. Versi terakhir Nouvo di pasaran tempatan ialah Nouvo 135 LC.

(Visited 143 times, 1 visits today)