Akan datang GPX Demon GR200R mulai November 2020, harga di bawah RM 12,000.00

Untuk peminat motosikal tempatan, salah sebuah model motosikal terbaharu yang sepatutnya masuk dalam senarai pilihan tahun ini ialah GPX Demon GR200R. Model tersebut dilancarkan di pasaran Thailand dalam bulan Jun 2020 yang lepas, dan telah disahkan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan November akan datang.

Lebih menarik lagi harga jangkaannya berada di bawah paras RM 12,000.00 sahaja, atau lebih tepat lagi dalam lingkungan RM 11,000.00 ++. Dengan penampilannya yang sporty dan bergaya bagaikan sebuah model superbike, di samping enjin 198cc dengan pelbagai ciri-ciri dan spesifikasi yang menarik, pastinya model ini berbaloi untuk dimiliki.

Kita imbas kembali spesifikasi model Demon GR200R ini secara ringkas, antaranya enjin dengan teknologi suntikan bahan api GPX-Fi, transmisi enam kelajuan dan tork 17.2Nm @ 6,500rpm, kerangka trellis yang kuat, meter digital moden, sistem lampu LED sepenuhnya, suspensi belakang monoshock YSS, dan tiga pilihan warna menarik.

GPX Demon GR200R dilengkapi tangki bahan api maksimum 10.5 liter, dan ketinggian tempat duduknya berukuran 815 mm. Berat motosikal ini pula hanya 155 kg, dan dengan nisbah kuasa yang ada membolehkannya mencapai kelajuan maksimum 140 + km/j. Pengendalian cemerlang dibantu oleh sepasang fork depan jenis upside-down.

Sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang sudah mencukupi untuk memberhentikan model ini dengan selamat. Kemudiannya rim roda berukuran 17 inci digandingkan bersama-sama tayar depan bersaiz 100 / 80 dan tayar belakang 140 / 70. Kesimpulannya, inilah salah sebuah model yang sesuai dengan citarasa tempatan.

(Visited 7,495 times, 1 visits today)