HLYM bakal melancarkan model MT terbaharu, tema Rush of Darkness dan imej Samurai beri bayangan awal

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) bakal melancarkan model terbaharu pada tarikh 12hb. September 2020 (Sabtu) akan datang. Setakat ini pihak media telah menerima jemputan rasmi untuk menghadiri majlis pelancaran tersebut.

Buat masa ini tidak dapat dipastikan dengan tepat model terbaharu apakah yang bakal dilancarkan oleh HLYM nanti, cuma beberapa tekaan sebelum ini menyebut beberapa model yang dilihat berpotensi. Antaranya ialah model naked Yamaha MT-15 dan Yamaha MT-25, termasuklah model skuter Yamaha NMAX 155 versi terbaharu.

Untuk mendapatkan jawapannya, mungkin kita semua boleh merujuk kepada dua petunjuk yang diberikan oleh HLYM, melalui jemputan yang diberikan kepada pihak media. Pertamanya ialah model terbaharu itu akan dilancarkan dengan tema Rush of Darkness, dan petunjuk kedua memperlihatkan terdapatnya paparan imej Samurai.

Berdasarkan contoh daripada pelancaran model-model terdahulu dalam siri Yamaha MT, tema Darkness atau kegelapan seringkali digunakan bagi setiap model yang dilancarkan. Begitu juga dengan paparan imej Samurai yang mengiringi model-model Yamaha MT, yang melambangkan sifatnya yang berani dan semestinya agresif.

Bagi model Yamaha MT-09 dan MT-07 di pasaran Malaysia ketika ini, kedua-duanya masing-masing hadir dengan tema Eyes of Darkness dan Dark Attracttion, manakala bagi model Yamaha MT-15 di pasaran Indonesia pula, temanya ialah Born of Darkness. Di pasaran Singapura, model Yamaha MT-03 hadir dengan tema Dark Lightning.

Sama ada Yamaha MT-15 atau MT-25, atau kedua-duanya sekali, atau mungkin juga Yamaha MT-10, pelancaran model terbaharu edaran HLYM kali ini pastinya akan memeriahkan lagi dunia permotoran tanah air. Kita tunggu pelancaran rasminya.

(Visited 16,882 times, 1 visits today)