Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 mungkin tidak akan masuk ke pasaran Malaysia, jangkaan harga RM 40k terlalu tinggi

Sejak pelancaran rasmi model terbaharu Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 di pasaran Indonesia, Thailand, Jepun dan juga Filipina, para peminat motosikal tempatan ketika ini masih tertunggu-tunggu bilakah model tersebut akan dilancarkan di pasaran Malaysia. Sedihnya sehingga ke hari ini persoalan itu masih belum ada jawapannya.

Untuk pasaran Malaysia, model-model motosikal keluaran Kawasaki diedarkan oleh syarikat Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn. Bhd. (KMSB). Namun sehingga kini KMSB masih lagi membisu dan tidak memberikan sebarang petunjuk sama ada Ninja ZX-25R akan dilancarkan atau pun tidak. Tiada sebarang ‘teaser’ atau pun sebarang kenyataan.

Sebelum ini terdengar ura-ura bahawa hak pengedaran motosikal Kawasaki di pasaran tempatan akan diambil alih oleh pihak Modenas. Jadi tidak dapat dipastikan sama ada perkara tersebut menjadi punca kenapa pelancaran model terbaharu termasuk Ninja ZX-25R ditangguhkan dahulu, sehingga masalah hak pengedaran selesai sepenuhnya.

Selain itu, kedengaran khabar angin bahawa Kawasaki Ninja ZX-25R akan dipasang oleh pihak Modenas di kilang mereka di Gurun, Kedah, seterusnya akan dijual di pasaran Malaysia mulai tahun depan. Namun khabar angin itu boleh dikatakan tiada kredibiliti, kerana pihak Modenas sendiri tidak memberikan sebarang pengesahan.

Namun apa yang paling penting ketika ini ialah jawapan mengenai persoalan sama ada Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 akan dilancarkan di pasaran Malaysia atau pun tidak. Jawapan dan pandangan peribadi daripada pihak Arena Motosikal ialah kebarangkalian untuk model 250cc empat silinder ini dilancarkan di pasaran tempatan sangatlah tipis.

Sebabnya tidak lain dan tidak bukan ialah kerana penetapan harga yang pastinya akan memeningkan pihak pengurusan KMSB. Di pasaran Indonesia contohnya, Kawasaki Ninja 250 dijual pada harga Rp. 62,700,000.00, bersamaan RM 17,621.36. Manakala di pasaran Malaysia, model yang sama Ninja 250 dijual pada harga sekitar RM 23,000.00.

Perbezaan harga di antara model Ninja 250 di pasaran Indonesia dan Malaysia adalah sekitar 25 peratus, bermakna ianya juga boleh diterjemahkan kepada perbezaan harga di antara model Ninja ZX-25R di pasaran Indonesia dan di pasaran Malaysia, jika ianya dilancarkan nanti. Jadi berapakah pula harga Ninja ZX-25R di pasaran Indonesia?

Di pasaran Indonesia, Ninja ZX-25R ditawarkan dalam dua varian, tanpa ABS dan dengan ABS, dan kedua-duanya mempunyai nilai harga bersamaan RM 28,412.55 dan RM 33,414.35. Dengan tambahan harga sekitar 20 peratus sahaja, kemungkinan besar harga Ninja ZX-25R di pasaran Malaysia akan bertambah sekitar RM 6,000.00.

Mungkin perkiraan ini kelihatan tidak realistik, kerana agak sukar untuk mempercayai bahawa Ninja ZX-25R akan dijual di pasaran Malaysia pada harga yang akan mencecah RM 40k bagi model dengan ABS. Namun situasi ini pernah terjadi kepada model Honda CBR250RR 2020 yang sehingga kini belum lagi dilancarkan oleh BSH.

Ini kerana pihak BSH sendiri tidak berani melancarkan Honda CBR250RR kerana harganya yang boleh mencecah RM 30k, walaupun harga bagi model CBR250RR 2021 di pasaran Indonesia ketika ini bagi varian teratas sekitar RM 22k sahaja. Sudah tentu faktor harga yang tinggi tidak akan mampu menarik pembeli bagi model tersebut.

Jadi dapatlah difahami kenapa pihak KMSB sehingga kini kelihatan tidak teruja untuk melancarkan Ninja ZX-25R di pasaran Malaysia, semuanya kerana harga jualan yang akan meningkat terlalu tinggi. Malah harga Ninja ZX-25R pastinya akan memintas harga model Kawasaki Ninja 400 SE ABS 2020, yang dijual sekitar RM 30k sahaja.

Lagi pun jika KMSB berani untuk melancarkan Ninja ZX-25R di pasaran Malaysia pada hujung tahun ini atau pada awal tahun hadapan, pastinya syarikat tersebut akan berdepan dilema apabila jumlah jualan tidak memberangsangkan. Adalah sangat sukar sebenarnya untuk menjual sebuah model 250cc pada harga yang mencecah RM 40k.

Pilihan terakhir, Ninja ZX-25R akan dipasang oleh Modenas secara CKD, seterusnya menawarkan model berkenaan pada harga yang jauh lebih rendah. Namun perkara tersebut tidak mudah dan mungkin akan mengambil masa yang lebih lama. Akhir sekali, apa guna jika Ninja ZX-25R dilancarkan namun tidak ramai yang mampu memilikinya.

(Visited 5,409 times, 1 visits today)