HLYM bakal melancarkan model baharu bulan depan, adakah ianya Yamaha MT-25 2020?

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini telah mengirimkan jemputan kepada pihak media untuk majlis pelancaran model terbaharu, yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan bulan September depan. Jemputan ini seterusnya menimbulkan persoalan, model motosikal terbaharu apakah yang bakal dilancarkan kelak?

Setakat ini berdasarkan sedikit sebanyak maklumat yang ada, di samping jangkaan berasaskan beberapa petunjuk dengan kemungkinan yang paling hampir, model yang bakal dilancarkan itu nanti ialah model naked Yamaha MT-25 versi 2020 terbaharu. Model tersebut ketika ini telah berada di pasaran Indonesia dan juga Jepun.

Namun begitu ini hanyalah ramalan awal sahaja dan tidak semestinya tepat. Tambahan pula HLYM ketika ini tidak mengeluarkan sebarang ‘teaser’ untuk kita semua membuat analisis lebih lanjut. Sebenarnya berita mengenai kemungkinan pelancaran Yamaha MT-25 di pasaran Malaysia telah pun didengari sejak beberapa tahun yang lepas lagi.

Dari segi penampilan dan gaya, Yamaha MT-25 2020 terbaharu mempunyai rupa paras yang lebih sporty dan garang berbanding model sebelumnya. Ianya kini dilengkapi lampu posisi LED jenis berkembar bersama-sama lampu utama LED yang ultra-kompak. Rekaan baharunya juga merangkumi penutup di bahagian tangki minyak.

Model naked tersebut masih mengekalkan enjin dua silinder sebaris 249cc (water-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve) dengan padanan kotak gear enam kelajuan, dan menawarkan kuasa maksimum 35PS @ 12,000rpm dan tork 23Nm @ 10,000rpm. Beratnya ialah 169 kg dan tangki bahan apinya mempunyai kapasiti penuh 14 liter.

Yamaha MT-25 2020 turut dilengkapi panel meter digital LCD, lampu signal LED, fork depan upside-down, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan dan belakang, serta tayar tanpa tiub yang lebar. Dengan prestasi dan ciri-cirinya, model tersebut menawarkan ciri tunggangan dan pengendalian yang lincah dan bertenaga.

Seandainya benar HLYM akan melancarkan model Yamaha MT-25 pada bulan depan, maka berakhirlah penantian peminat-peminatnya yang selama ini setia menunggu. Ketika ini kita semua hanya mampu menantikan ketibaan tarikh pelancaran tersebut, dan berharap ianya akan menjadi kenyataan. Sama-sama kita tunggu.

(Visited 9,532 times, 1 visits today)