Info terkini Yamaha Exciter 155 VVA, pelancaran selepas Tahun Baru Cina 2021, varian ABS diperkenalkan

Sejak kemunculan gambar-gambar ‘spyshot’ Yamaha Exciter 155 VVA serba baharu, para peminat model tersebut di pasaran Vietnam dan Malaysia, termasuk di pasaran-pasaran lain di rantau Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan juga Singapura, berasa sangat teruja menantikan pelancarannya di negara masing-masing.

Bagaimanapun berdasarkan laporan terkini dari Vietnam, Yamaha Exciter 155 VVA 2021 serba baharu tidak akan muncul di pasaran negara tersebut pada awal tahun depan, malah bakal melangkaui tarikh sambutan Tahun Baru Cina pada pertengahan bulan Februari. Ini bermakna pelancaran model yang dinanti-nantikan itu mungkin akan mengambil masa yang lebih lama, paling awal dalam suku kedua tahun berkenaan.

Tidak dapat dipastikan kenapa pihak Yamaha Motor Vietnam mengambil masa yang agak lama untuk melancarkan Exciter 155 VVA, memandangkan model semasa Exciter 150 versi ‘facelift’ yang dilancarkan pada Ogos 2018 telah lama berada di pasaran. Jika pasaran Vietnam lambat menerima kehadiran Exciter 155 VVA, bermakna pasaran Malaysia akan terpaksa menunggu lebih lama kehadiran pengganti Yamaha Y15ZR V2.

Selain itu antara maklumat terbaharu yang diterima mengenai Yamaha Exciter 155 VVA ini ialah model tersebut dikatakan bakal didatangkan varian dengan sistem brek ABS. Berdasarkan gambar-gambar ‘spyshot’ sebelum ini, Exciter 155 VVA dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik seperti transmisi enam kelajuan, panel meter baharu, Assist & Slipper Clutch dan sistem kunci Keyless, cuma kekurangannya ialah sistem brek ABS.

Jadi adalah menghairankan untuk sebuah model serba baharu yang bakal menjana prestasi yang lebih tinggi berbanding Exciter 150, tidak dilengkapi dengan sistem brek ABS. Apatah lagi ketika ini sistem brek ABS merupakan antara ‘trend’ wajib terbaharu yang ditawarkan melalui model moped masa kini, contohnya dapat dilihat pada model-model seperti Honda Winner X dan SYM Star SR 170 di pasaran Vietnam sendiri.

Menurut maklumat terbaharu itu, Yamaha Exciter 155 VVA bakal dilengkapi dengan sistem brek ABS, namun hanya akan ditawarkan untuk varian teratas sahaja. Mungkin pada varian Doxou atau GP Edition, manakala varian-varian lain tidak akan dilengkapi ABS. Strategi tersebut adalah sama seperti mana yang ditawarkan oleh Honda Winner X ketika ini, kerana varian tanpa brek ABS mempunyai tanda harga yang lebih rendah.

Kesimpulannya, Yamaha Exciter 155 VVA atau Yamaha Y15ZR V3 apabila dilancarkan pada tahun 2021 atau 2022 nanti, dijangka akan hadir dengan tanda harga jualan yang lebih tinggi, bersesuaian dengan spesifikasi dan ciri-ciri canggih yang bakal ditawarkan. Namun masih ada masa untuk kita semua membuat perancangan dan juga simpanan.