Harga rasmi Honda CBR250RR SP Quick Shifter Special Edition Garuda x Samurai 2021 diumumkan

Dalam bulan Julai yang lepas, pasaran Indonesia secara rasminya menerima kehadiran model terbaharu Honda CBR250RR 2021. Bagaimanapun bagi varian edisi istimewa yang dikenali dengan nama Honda CBR250RR SP Quick Shifter Special Edition Garuda x Samurai, harga untuk model berkenaan ketika itu masih belum diumumkan.

Namun pada dua hari yang lepas, PT Astra Honda Motor (AHM) telah mengumumkan harga rasmi untuk model berkenaan, ditawarkan sebanyak Rp 77,700,000.00 (OTR DKI Jakarta), bersamaan RM 22,067.24 mengikut kadar tukaran semasa. Menurut AHM, pengeluaran model berkenaan terbatas kepada hanya 75 unit sahaja, bersempena dengan sambutan ulangtahun kemerdekaan kali yang ke-75 Republik Indonesia.

Menurut AHM, penampilan lustrasi menarik dan eksklusif Honda CBR250RR SP Quick Shifter Special Edition Garuda x Samurai adalah mewakili sejarah serta budaya Indonesia dan Jepun. Ianya menggabungkan motif burung Garuda, corak batik dan watak samurai Sengoku Commander bersama-sama perincian bunga Sakura, seterusnya memberikan gambaran kolaborasi yang erat antara kedua-dua negara.

Aspek spesifikasi pula memperlihatkan Honda CBR250RR SP Quick Shifter dibekalkan enjin 250cc dua silinder DOHC 8-valve yang bertenaga, dengan kuasa maksimum yang mencapai 41PS @ 13,000rpm dan tork maksimum sehingga 25Nm @ 11,000rpm. Teknologi Quick Shifter dan Assist & Slipper Clutch, kini disepadukan dengan ciri-ciri sedia ada seperti Throttle by Wire dengan riding mode dan juga sistem brek ABS.

Setakat ini Honda CBR250RR 2021 juga telah dilancarkan di pasaran Jepun pada tarikh 23hb. Julai 2020, dan dijangka ianya akan turut dilancarkan di pasaran Thailand tidak lama lagi. Untuk pasaran Malaysia, sebelum ini khabar angin mengatakan bahawa pelancaran model yang ditunggu-tunggu ini bakal berlangsung pada hujung tahun ini.

(Visited 324 times, 1 visits today)