Modenas Kriss MR2 di pasaran Malaysia, harga RM 4,090.00

Pada penghujung tahun 2011, Modenas telah membuat kejutan di pasaran tempatan dengan memperkenalkan model terbaharu Modenas Kriss MR1. Dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 97.2cc, model tersebut ditawarkan pada harga yang cukup berpatutan iaitu RM 2,998.00 sahaja (tidak termasuk insuran dan cukai jalan).

Kemudiannya pada 18hb. Mei 2017, Modenas meneruskan legasi model Kriss MR1, dengan melancarkan model terbaharu Modenas Kriss MR2. Bagaimanapun sekadar maklumat tambahan, Kriss MR2 tidak lagi menggunakan teknologi daripada Kawasaki, sebaliknya dijenamakan semula daripada motosikal buatan Zongshen dari China.

Walaupun begitu, kualiti model Modenas Kriss MR2 tetap berada pada tahap tertinggi kerana ianya perlu memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Modenas, tambahan pula kebanyakan komponen-komponennya adalah berasaskan komponen tempatan. Kualiti pemasangan di kilang Modenas di Gurun, Kedah juga selama ini telah terbukti.

Ketika ini Modenas Kriss MR2 ditawarkan pada harga RM 4,090.00, dalam tiga pilihan warna menarik iaitu kuning, biru dan merah. Ianya dikuasakan enjin bersesaran 109.2cc (4-lejang, SOHC, 1-silinder) dengan transmisi empat kelajuan, yang menawarkan kuasa maksimum 8.3hp (6.2kW) @ 7,500rpm dengan tork maksimum 8.2Nm @ 5,500rpm.

Enjin tersebut dilengkapi sistem penyejukan jenis udara, dan masih dilengkapi sistem penyampaian bahan api jenis karburator. Walaupun begitu enjin tersebut dikatakan sebagai enjin generasi baharu yang telah memenuhi piawaian Euro 3, bermakna ianya mempunyi ciri-ciri penggunaan petrol yang menjimatkan dan lebih mesra alam.

Menurut Modenas, antara ciri-ciri menarik yang didatangkan bersama-sama model Kriss MR2 ini ialah reka bentuk panel meter yang kompak serta memberikan bacaan yang jelas, sistem kunci 3 dalam 1 yang mudah untuk penunggang, penyerap hentak belakang dwi kejutan yang berupaya menyerap beban dengan lebih baik, reka bentuk rim aloi 17 inci yang unik, dan ruang simpanan di bawah tempat duduk yang luas.

Ciri-ciri lain yang melengkapi Modenas Kriss MR2 ini termasuklah kapasiti tangki minyak 4.5 liter, sistem penghidup jenis tendang dan elektrik, sistem brek cakera di bahagian roda hadapan, posisi tunggangan yang ergonomik dan berat kering hanya 94.5 kg. Tempoh jaminan yang diberikan adalah selama 2 tahun atau 20,000 km.

Ketika ini di pasaran tempatan, selain daripada Kriss MR2, Modenas turut menawarkan dua lagi model dalam kategori moped iaitu Modenas Kriss 110 yang ditawarkan pada harga RM 3,457.00, dan Modenas CT115S yang dijual pada harga RM 4,988.00. Untuk perkembangan terkini Modenas, anda boleh membaca artikel berkaitan seperti berikut.

Artikel berkaitan :

Galeri : Modenas Kriss MR2

Galeri : Modenas Kriss MR1 (Sumber : Arena Permotoran)