Model baharu GPX POPz 110 2020 kini di pasaran Malaysia, harga RM 5,200.00

Sebelum ini pada bulan Julai 2020 yang lalu, GPX Malaysia telah mengumumkan bahawa mereka akan melancarkan sebuah model terbaharu yang diberi nama GPX POPz 110. Berdasarkan pemerhatian di dalam laman FB GPX Malaysia hari ini, model tersebut kini telah mula dijual secara rasmi, pada harga disyorkan RM 5,200.00.

GPX POPz 110 merupakan sebuah model kapcai yang tampil dengan gaya retro, dalam pilihan pelbagai warna yang menarik dan funky. Enjin empat lejang satu silindernya bersesaran 110cc, dan dilengkapi sistem penyejukan jenis udara, sistem penyampaian bahan api karburator dan kotak gear empat kelajuan. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 4 liter, sementara beratnya ialah 99 kg.

Spesifikasi lain yang melengkapinya adalah seperti sistem penghidup jenis tendang dan elektrik, suspensi depan teleskopik, suspensi belakang jenis berkembar (twin shock up), sistem brek depan jenis cakera, brek belakang jenis dram, rim aloi yang sporty dengan diameter 17 inci, dan ketinggian tempat duduk hanya 760 mm.

Ciri-ciri menarik lain termasuklah panel meter semi digital, lampu depan dan belakang jenis LED sepenuhnya, dan juga tempat duduk fleksibel (flexi seat). GPX POPz 110 boleh didapati dalam lima pilihan warna menarik seperti Red (Special Edition), White (Special Edition), Blue (Standard), Orange (Standard) dan Pink (Standard).

(Visited 524 times, 1 visits today)