WMOTO VE1 110 2019 kapcai harga berpatutan di pasaran

Di pasaran tempatan ketika ini, terdapat banyak pilihan model kapcai yang ditawarkan pada harga berpatutan. Namun begitu ada di antaranya kita tidak pernah mendengar namanya, atau kurang dikenali kerana pasarannya yang tidak meluas. Sebagai contoh ialah model kapcai WMOTO VE1 110 yang diperkenalkan sejak awal tahun 2019 ini.

Berdasarkan sedikit sebanyak maklumat yang diperolehi hasil carian di dalam internet, WMOTO VE1 110 diedarkan oleh syarikat Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd, di bawah jenama WMOTO. Dua varian ditawarkan iaitu WMOTO VE1 110H yang merupakan varian standard, manakala varian WMOTO VE1 110R dilengkapi brek cakera hadapan.

WMOTO VE1 110 hadir dalam tiga pilihan warna iaitu merah, biru dan hitam, pada harga jualan sekitar RM 3,000.00 sahaja (sumber dari Mudah.my). Motosikal kapcai ini dilengkapi enjin empat lejang berkapasiti 109.2cc (Single Cylinder, 4-Stroke, SOHC, Air-cooled) dan dipadankan kotak gear empat kelajuan (4 Speed Rotary Gear System).

Enjinnya masih dilengkapi sistem penyampaian bahan api karburator, lengkap dengan sistem penghidup jenis tendang dan elektrik, tangki bahan api dengan isian penuh 4 liter, dan berat kering keseluruhan 100 kg. Suspensi depan teleskopik dan suspensi belakang berkembar berjenama Kayaba sudah cukup untuk model mampu milik ini.

Berkenaan sistem brek bagi varian 110H, ianya masih dilengkapi brek jenis dram di bahagian roda depan dan belakang, manakala varian 110R tampil lebih moden dengan brek cakera di bahagian roda depan dan brek belakang jenis dram. Saiz tayar masing-masing didatangkan dalam ukuran 70/90-R17 (depan) dan 80/90-R17 (belakang).

WMOTO VE1 110 ini turut dilengkapi ciri-ciri menarik seperti panel meter bergaya sporty dengan petunjuk gear, lampu signal LED, lampu DRL LED, dan enjinnya yang bertaraf Euro 3 dikatakan mesra alam dan jimat petrol. Tempoh jaminan yang diberikan adalah selama 2 tahun atau 20,000 km, dengan tambahan 1 tahun atau 10,000 km untuk enjin.

(Visited 215 times, 1 visits today)