Yamaha NMAX 125 ABS 2020 terima pilihan warna baharu ‘Matte Blue’ di pasaran Jepun

Pada bulan April yang lepas, Yamaha telah memperkenalkan skuter Yamaha NMAX 125 ABS 2020 untuk pasaran domestik Jepun, yang kini didatangkan pilihan warna baharu ‘Matte Blue’ yang tampil lebih sporty dan elegan. Dua pilihan warna terdahulu iaitu ‘Matte Grey’ dan ‘White’ masih ditawarkan untuk jualan seperti biasa.

Yamaha NMAX 125 ABS dilengkapi enjin Blue Core bersesaran 124cc (single cylinder, liquid cooled, 4-stroke, SOHC, 4 valves), dengan padanan transmisi automatik CVT. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 12PS @ 7,500rpm dengan tork maksimum 12Nm @ 7,250rpm. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti penuh 6.6 liter.

Menurut Yamaha, NMAX 125 ABS mewarisi DNA daripada model ‘TMAX’ dan ‘XMAX’ yang popular di pasaran Eropah dan Jepun, dengan menggabungkan gaya inovatif dan ciri tunggangan sporty ‘MAX Series’ ke dalam rekabentuk badannya yang padat. Ianya merupakan sebuah komuter bandar yang selesa untuk kegunaan seharian.

Ciri-ciri menariknya termasuklah enjin Blue Core yang berprestasi, cekap dan mesra alam, lampu depan LED dengan rekaan yang menarik dan kelihatan agresif, panel meter digital, sistem brek cakera dengan ABS, sistem kunci cegah kecurian dan ruang penyimpanan barangan peribadi di bawah tempat duduk seluas kira-kira 24 liter.

Yamaha NMAX 125 ABS 2020 untuk pasaran domestik Jepun dikeluarkan oleh kilang PT. Yamaha Indonesia Motor Manufacturing (YIMM). Harga yang ditawarkan adalah sebanyak 357,500 Yen, bersamaan RM 14,065.22 mengikut kadar tukaran semasa. Selain daripada NMAX 125, turut ditawarkan di pasaran Jepun ialah NMAX 155.

(Visited 55 times, 1 visits today)