Modenas CT115S – calon moped versi dipertingkatkan?

Baru-baru ini menerusi laporan yang disiarkan oleh akhbar Harian Metro, Modenas dikatakan bakal melancarkan sebuah model moped terbaharu versi dipertingkatkan, pada hujung tahun ini. Bagaimanapun tiada maklumat lanjut yang diberikan, memberi kemungkinan bahawa model yang dimaksudkan itu ialah Modenas CT115S.

Modenas CT115S dilancarkan secara rasmi pada tarikh 08hb. September 2015, tampil dengan reka bentuk serba baharu dan sporty. Ianya dilengkapi enjin bersesaran 114.8cc (4 Lejang, SOHC, Silinder Tunggal) dengan kuasa maksimum 8.8hp (6.6kW) @ 9,500rpm dan tork 8.1Nm @ 5,000rpm. Transmisinya ialah empat kelajuan berputar.

Modenas CT115S dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti 4.8 liter, fork depan teleskopik, fork belakang monoshock, sistem brek cakera depan, sistem brek dram belakang, saiz tayar depan dan belakang masing-masing berukuran 70/90-17 38P dan 80/90-17 44P, ketinggian tempat duduk 750 mm dan berat kering motosikal 99 kg.

Untuk model semasa pada tahun 2020 ini, Modenas CT115S boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Merah, Biru dan Hitam, bersama-sama rekaan grafik baharu yang menarik. Rekaan speedometer yang sporty dan kemas, lampu isyarat depan yang agresif dan kemudahan soket kuasa untuk pengecasan menambahkan lagi nilainya.

Harga yang ditetapkan untuk Modenas CT115S pada ketika ini adalah sebanyak RM 4.988.00, berpatutan dengan apa yang ditawarkan. Berbalik kepada model moped terbaharu versi dipertingkatkan yang bakal diperkenalkan, mungkin Modenas CT115S ini akan menerima beberapa pembaharuan, berdasarkan maklumbalas peminat.

Antara maklumbalas atau kritikan yang diberikan oleh peminat Modenas selama ini berkenaan CT115S ialah mengenai rekabentuk bahagian lampu belakangnya, yang dikatakan kurang menarik. Jika masalah tersebut dapat diatasi dan hadir dengan beberapa naik taraf terkini, tidak mustahil ianya akan mendapat sambutan hangat.

Bagaimanapun ini hanyalah ramalan sahaja, kerana sehingga kini tiada petunjuk jelas model moped manakah yang akan dilancarkan dalam versi dipertingkatkan pada hujung tahun ini. Mungkin juga model yang dimaksudkan itu ialah Modenas GT128, atau mungkin juga pelancaran rasmi model yang ditunggu-tunggu Modenas Super Moped.

(Visited 2,793 times, 3 visits today)