Sejarah ringkas dan galeri Honda CBR600RR (2003 – 2020)

Honda baru-baru ini telah membuat kejutan dengan mengumumkan model terbaharu Honda CBR600RR 2021, yang bakal dilancarkan secara rasmi pada 21hb. Ogos 2020 nanti. Sementara menantikan ketibaan tarikh tersebut, kita imbas kembali sejarah ringkasnya, yang bermula dari tahun pertama pengeluarannya sehingga ke tahun 2020.

Model pertama Honda CBR600RR diperkenalkan pada tahun 2003, sebagai kesinambungan kepada model Honda CBR600F4i. Ianya menggunakan teknologi jentera RC211V MotoGP, dan penampilannya juga hampir sama. CBR600RR merupakan model pertama Honda yang dilengkapi suspensi belakang Unit Pro-Link.

Selain itu ianya juga merupakan yang pertama menggunakan teknologi PGM-DSFI (Dual Stage Fuel Injection), yang diambil secara terus dari jentera RC211V. Teknologi kerangka canggih ‘Hollow Fine Die Cast’ yang digunakan membolehkan pengurangan ketebalan kerangka aluminium five-piece daripada 3.5 mm kepada 2.5 mm.

Model pertama tahun 2003 diteruskan sehingga ke model tahun 2004 tanpa perubahan teknikal, cuma tambahan terbaharu ialah sensor oksigen. Pada tahun 2005, kemaskini terbaharu melibatkan bahagian badan, kehadiran fork depan jenis terbalik yang boleh dilaraskan sepenuhnya, brek cakera radial-mounted dengan kaliper empat piston, dan termasuklah kerangka aluminium, lengan ayun dan suspensi belakang baharu.

Kuasa enjin di putaran pertengahan juga telah bertambah, bersama-sama penambahbaikan di bahagian enjin dan sistem ekzos. Seterusnya model tahun 2006 tidak mengalami sebarang perubahan teknikal, kekal sama seperti model tahun 2005.

Pada tarikh 06hb. September 2006, Honda telah memperkenalkan CBR600RR 2007 serba baharu, yang tampil dengan reka bentuk paling radikal sejak ianya diperkenalkan pada tahun 2003. Ciri utamanya ialah enjin, kerangka dan kemasan badan serba baharu yang dikatakan menghasilkan model lebih kecil, lebih ringan dan lebih berkuasa.

Bagi model tahun 2007, ianya berterusan sehingga ke model tahun 2008. Bagi model tahun 2009 yang dikeluarkan sehingga tahun 2012, reka bentuknya masih sama seperti model sebelumnya, namun perubahan utama ialah tersedia varian dengan sistem brek ABS. Selain itu, perubahan di bahagian enjin membolehkan kuasa tork dipertingkatkan.

Bagi model tahun 2013, penampilannya berubah secara ketara di bahagian depan dan sehingga kini ianya menjadi trademark untuk CBR600RR. Antara lain yang baharu ialah rim 12 bilah, kemaskini talaan ECU, peningkatan kuasa tork melalui talaan sistem ram-air, dan juga dilengkapi Showa “Big Piston Fork” dan suspensi belakang ditala semula.

Honda CBR600RR 2013 kekal tidak berubah sehingga ke model tahun 2020. Bagaimanapun model tersebut sebelum itu telah dihentikan jualannya pada tahun 2017 di pasaran Eropah disebabkan tidak lagi melepasi piawaian emisi Euro 4. Namun jualannya di pasaran lain termasuk USA tidak terganggu dan berjalan seperti biasa.

Oleh kerana versi semasa di pasaran ketika ini iaitu Honda CBR600RR 2020 merupakan model yang telah lama berada di pasaran, ianya telah ketinggalan dari segi teknologi terkini. Akhirnya Honda telah memecah kebuntuan apabila secara rasminya memperkenalkan Honda CBR600RR 2021 serba baharu, yang lebih canggih.

Untuk anda yang mahu melihat perubahan Honda CBR600RR bermula dari tahun 2003 sehingga ke tahun 2020, anda boleh saksikannya dalam galeri di bawah. Apa yang menariknya ialah Honda CBR600RR 2021 masih mengekalkan sistem ekzos di bawah tempat duduk belakang, sesuatu yang mendapat pujian daripada ramai peminatnya.

Sumber rujukan : Wikipedia

Galeri : Honda CBR600RR (2003-2004)

Galeri : Honda CBR600RR (2005-2006)

Galeri : Honda CBR600RR (2007-2008)

Galeri : Honda CBR600RR (2009-2012)

Galeri : Honda CBR600RR (2013-2020)