MV Agusta Brutale 800 RR SCS 2020, dilengkapi Smart Clutch System yang memudahkan tunggangan

MV Agusta baru-baru ini telah mengumumkan kehadiran model Brutale 800 RR SCS 2020 terbaharu, dengan kelengkapan Smart Clutch System (SCS) yang menjadikan tunggangan lebih mudah dan pantas. Pada masa yang sama, syarikat tersebut juga mengeluarkan lebih banyak gambar-gambar menarik untuk model naked berkenaan.

Untuk anda yang masih tertanya-tanya bagaimanakah sistem SCS beroperasi, ianya bermakna penggunaan tuas klac hanya diperlukan ketika menghidupkan enjin motosikal, namun selepas itu gear akan beroperasi secara automatik, dan tidak lagi perlu menggunakan tuas klac walaupun motosikal telah berhenti dan kembali memecut.

Menurut MV Agusta lagi, penukaran gear masih lagi menggunakan tuas kaki (foot lever), namun ianya dibantu oleh sistem quickshifter dua hala. Perbezaan berat di antara kotak gear tradisional dan sistem SCS hanyalah 36 gram, dan ianya selari dengan falsafah MV Agusta untuk memaksimumkan kecekapan dan berat minimum.

Selain daripada rekaannya yang cantik dan kelihatan brutal, MV Agusta Brutale 800 RR SCS 2020 ini dilengkapi enjin tiga silinder bersesaran 798cc, yang kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Janaan kuasa yang terhasil mencapai angka 140hp @ 12,300rpm dengan tork maksimum 87Nm @ 10,100rpm.

Spesifikasi lain yang melengkapinya adalah seperti panel instrumen digital, sistem suspensi depan jenis USD, suspensi belakang jenis tunggal, sistem brek Brembo dengan ABS, Riding Modes dengan empat pilihan, berat kering 175 kg dan tangki bahan api 16.5 liter. Kelajuan maksimumnya dikatakan mencapai angka 244 km/j.

Untuk pasaran Eropah, MV Agusta Brutale 800 RR SCS 2020 boleh dimiliki pada harga bermula daripada 16,990 Euro, bersamaan RM 84,121.80 mengikut kadar tukaran semasa. Pilihan warna menarik yang ditawarkan pula ialah dua sahaja, dikenali dengan nama Shock Pearl Red / Avio Grey dan Avio Silver / Dark Metallic Grey.

(Visited 56 times, 1 visits today)