Harga untuk Yamaha FZ 25 2020 dan Yamaha FZS 25 2020 di pasaran India diumumkan

Untuk pasaran India, dua model terbaharu Yamaha FZ 25 2020 dan Yamaha FZS 25 2020 secara rasminya diumumkan pada bulan Februari 2020 yang lalu. Kedua-dua model tersebut telah mematuhi piawaian pelepasan asap BS6 yang lebih ketat.

Baru-baru ini pula pada tarikh 27hb. Julai 2020, harga rasmi untuk kedua-duanya telah diumumkan, di mana Yamaha FZ 25 ditawarkan pada harga 152,100 Rupee (RM 8,513.38), manakala Yamaha FZS 25 berharga 157,100 Rupee (RM 8,793.24).

Menurut Yamaha lagi, jualan Yamaha FZ 25 2020 secara rasminya bermula pada tarikh 27hb. Julai 2020, namun tarikh jualan untuk model Yamaha FZS 25 2020 akan diumumkan kemudian. Ini bermakna bakal pembelinya terpaksa terus menunggu.

Yamaha FZ 25 dan Yamaha FZS 25 untuk pasaran India hadir dengan beberapa perbezaan, namun kedua-duanya dilengkapi enjin yang sama bersesaran 249cc (Air Cooled, SOHC, 4 Stroke, Single-cylinder) dengan padanan kotak gear lima kelajuan.

Enjin tersebut dilengkapi sistem suntikan bahan api, sistem penghidup elektrik dan klac tangan. Janaan kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin berkenaan berada pada paras 20.8PS (15.3kW) @ 8,000rpm dan tork puncak 20.1Nm @ 6,000rpm.

Berat keseluruhan Yamaha FZ 25 dan FZS 25 masing-masing hanya 153 kg dan 154 kg, memberikan kelebihan dari segi nisbah kuasa kepada berat, seterusnya menawarkan kawalan tunggangan lebih mudah dan penggunaan petrol lebih ekonomi.

Antara ciri-ciri menarik yang diperkenalkan untuk FZ 25 dan FZS 25 ialah ‘Multi-Function Negative LCD Instrument Cluster’, ‘LED Day Time Running Lamp’, ‘Class D Bi Functional LED Headlight’, ‘Under cowling’, ‘Side Stand with Engine Cut-off Switch’, ‘Advanced Midship Muffler Cover’ dan ‘140 mm Wider Rear Tyre’.

Berbanding FZ 25, kelengkapan tambahan yang dipasangkan untuk FZS 25 ialah ‘Long Visor’, ‘Brush Guard’ dan ‘Golden Colour Wheel’, yang mana ianya bukan saja memberi kelebihan pada nilai astetik malah praktikaliti sepanjang sesi tunggangannya.

Untuk prestasi pemberhentian pada tahap cemerlang, sistem brek FZ 25 dan FZS 25 didatangkan dengan cakera berdiameter sebesar 282 mm (depan) dan 220 mm (belakang), bersama-sama teknologi ABS dwi-saluran yang lebih cekap dan selamat.

Kehadiran suspensi belakang monocross boleh laras (7-Step Adjustable Monocross Suspension) pula menawarkan keseimbangan, kestabilan dan keselesaan terbaik sewaktu tunggangan, membolehkan penguasaan di sebarang jenis permukaan jalan.

Yamaha FZ 25 2020 BS6 boleh didapati dalam dua pilihan warna menarik seperti Racing Blue dan Metallic Black, manakala Yamaha FZS 25 2020 BS6 hadir dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Patina Green, White-Vermillion dan Dark Matt Blue.