Honda Wave 125i 2019 di pasaran Malaysia, harga asas bermula daripada RM 5,999.00

Model terbaharu Honda Wave 125i model tahun 2019 secara rasminya dilancarkan di pasaran Malaysia pada tarikh 19hb. November 2018 yang lalu. Mempunyai penampilan terkini yang lebih moden berbanding generasi sebelumnya, model berkenaan hadir dalam dua varian iaitu Single Disc-Brake dan Double Disc-Brake.

Honda Wave 125i 2019 didatangkan dalam tiga pilihan warna yang menarik seperti Pearl Magellanic Black with Pearl Nightfall Blue, Pearl Magellanic Black with Candy Scintillate Red dan Force Silver Metallic. Harga asas yang ditawarkan adalah sebanyak RM 5,999.00 untuk varian Single Disc-Brake, dan RM 6,299.00 untuk varian Double Disc-Brake. Turut disertakan ialah jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km perjalanan.

Antara perubahan utama yang ditawarkan kali ini termasuklah penggunaan lampu depan LED yang lebih terang, lampu signal depan rekaan baharu, lampu belakang rekaan baharu, di samping ciri-ciri menarik dan praktikal seperti panel meter premium, tangki minyak dengan kapasiti 5.4 liter, kebuk U dengan keluasan 18 liter yang boleh memuatkan sebuah topi keledar, dan logo 3D dengan rekaan grafik baharu.

Honda Wave 125i 2019 terbaharu masih dikuasakan enjin empat lejang 125cc yang dilengkapi sistem suntikan bahan api PGM-FI, yang menawarkan pecutan responsif dan pada masa yang sama menjimatkan penggunaan bahan api. Enjin dengan sistem penyejukan udara dan transmisi empat kelajuan itu menghasilkan kuasa maksimum 9.15hp (6.83kW) @ 7,500rpm dan tork puncak 10.2Nm @ 5,500rpm.

Selain daripada menawarkan ciri tunggangan yang selesa, Honda Wave 125i 2019 ini dikatakan mampu pergi sejauh 300 km dengan hanya setangki penuh petrol. Untuk anda yang mahukan sebuah motosikal yang bergaya dan moden, jimat petrol dan mempunyai ruang barangan yang luas, mungkin boleh mempertimbangkannya.


Artikel Popular Minggu Ini :

Dayang ADV150 diilhamkan daripada model Honda ADV150, dilengkapi enjin lebih berkuasa dan kamera depan belakang

Pelancaran rasmi Honda ADV150 2021 dijangka pada bulan Februari depan, harga asas sekitar RM 14k

Penampilan baharu Yamaha Exciter 155 VVA 2021 apabila dipasangkan lampu depan (headlamp) Yamaha Exciter 150