Pada Julai 2003, Yamaha 125ZR diperkenalkan di pasaran Malaysia

Yamaha 125Z dan Yamaha 125ZR kedua-duanya merupakan model motosikal yang sama, namun tampil dengan beberapa perbezaan di bahagian kosmetik dan juga teknikal. Setakat ini berdasarkan maklumat yang ada, pelancaran generasi pertama Yamaha 125Z untuk pasaran Malaysia dikatakan berlangsung pada tahun 1998.

Kemudiannya generasi kedua Yamaha 125ZR diperkenalkan di pasaran tempatan secara rasmi pada bulan Julai 2003, menurut maklumat yang diperolehi daripada laman sesawang Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM). Yamaha 125ZR terus berada di pasaran Malaysia sehinggalah ke pengeluaran terakhir pada tahun 2018.

Sewaktu ianya dilancarkan dahulu, Yamaha 125ZR model tahun 2003 kekal dengan ekzos yang dilengkapi pemangkin asap (catalyzer), di samping beberapa ciri baharu yang diperkenalkan. Berdasarkan maklumat daripada paparan brosur seperti mana di dalam galeri di bawah, ciri-ciri baharu yang diperkenalkan itu adalah seperti berikut :

  • Anjakan gear jenis berangkai – membolehkan gear ditukar dengan mudah dan cepat
  • Lampu depan multireflektor dan lensa isyarat jelas – lebih jelas, lebih terang dengan gaya inovatif
  • Reka bentuk panel meter – untuk memudahkan bacaan dengan sekali pandang
  • Pelindung angin depan – keselamatan tambahan untuk panel meter dan gaya yang lebih sporty
  • Lampu brek kedua LED – Direka untuk keselamatan tambahan khususnya di waktu malam

Yamaha 125ZR 2003 dilengkapi enjin dua lejang berkapasiti 124.3cc dengan sistem penyejukan udara, dan digandingkan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 17.5PS @ 8,000rpm dengan tork setinggi 16Nm @ 7,500rpm. Sistem brek merupakan jenis cakera di bahagian depan dan belakang.

Sewaktu ianya berada di pasaran tempatan pada tahun 2003, Yamaha 125ZR dijual pada harga RM 6,617.01 (On The Road). Untuk makluman anda, ketika ini Yamaha 125ZR versi NOS (New Old Stock), atau model baharu tetapi stok lama, masih lagi ditawarkan di pasaran tempatan, namun pada harga menjangkau hampir RM 20k.

Artikel berkaitan : Harga terkini Yamaha 125ZR NOS 2020, RM 14k – RM 20k

(Visited 134 times, 2 visits today)