Yamaha Lagenda 110 keluaran 2003 di pasaran Malaysia

Berdasarkan maklumat daripada laman Wikipedia, generasi pertama Yamaha Lagenda untuk pasaran Malaysia telah diperkenalkan pada tahun 2000, bermula dengan model Yamaha Lagenda SR yang dilengkapi enjin bersesaran 100cc. Pengenalan Yamaha Lagenda dikatakan sebagai penerus kesinambungan kepada model Yamaha SR-X.

Kemudiannya pada tahun 2003, Yamaha Lagenda SR telah dinaiktaraf dengan enjin 110cc dan dikenali dengan nama baharu Yamaha Lagenda 110. Pengeluaran Yamaha Lagenda 110 bertahan sehingga tahun 2005, sehinggalah ianya digantikan dengan generasi baharu seterusnya Yamaha Lagenda Z 110 (new facelifted version).

Yamaha Lagenda 110 keluaran tahun 2003 diperkenalkan dalam tiga pilihan warna iaitu Merah, Biru dan Perak, dengan dua pilihan varian iaitu dengan penghidup tendang sahaja atau dengan penghidup tendang dan elektrik. Kedua-dua varian berkenaan masing-masing mempunyai harga OTR sebanyak RM 4,679.50 dan RM 4,984.75.

Yamaha Lagenda 110 dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 110.3cc (Single-cylinder, Air-cooled, 4-stroke, 2-valve, SOHC), yang kemudiannya dipadankan dengan transmisi empat kelajuan berputar. Model kapcai berkenaan dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 4.5 liter, dan mempunyai berat 102 kg (curb weight).

Sistem brek Yamaha Lagenda 110 terdiri daripada brek cakera di bahagian roda depan, dan digandingkan dengan brek jenis dram di bahagian roda belakang. Menurut Yamaha, model berkenaan mempunyai enjin yang berkuasa, kerangka yang lebih tegar, rekaan badan yang aerodinamik dan panel meter dengan rekaan trendy dan moden.

Artikel berkaitan :