Honda Wing GL500 1977 dilengkapi enjin 2-silinder jenis V, dan menggunakan sistem aci pemacu

Kali pertama melihat motosikal ini, pastinya pandangan mata akan terarah kepada bahagian enjinnya. Menurut maklumat dari Honda, model yang dikenali dengan nama Honda Wing GL500 keluaran tahun 1977 ini dilengkapi enjin empat lejang dua silinder jenis V, dengan sistem penyejukan cecair (liquid-cooled, 4-stroke, V-type 2-cylinder).

Enjin 496cc tersebut menghasilkan kuasa maksimum 48PS @ 9,000rpm dengan tork 40Nm @ 7,000rpm, dan dipadankan transmisi lima kelajuan. Seperkara lagi yang menarik mengenai motosikal ini ialah ianya tidak menggunakan mekanisma rantai untuk penyaluran kuasa, sebaliknya digantikan dengan sistem aci pemacu (drive shaft).

Motosikal unik ini didatangkan tangki bahan api seluas 17 liter, berat 218 kg dan mampu mencapai kelajuan puncak sehingga 165 km/j. Ianya dikatakan menawarkan dua ciri tunggangan iaitu sporty dan juga untuk perjalanan jarak jauh, melalui prestasi enjinnya, sistem aci pemacu yang mudah diselenggara dan sistem suspensi yang selesa.

Untuk pasaran domestik Jepun sewaktu ianya dilancarkan pada bulan Disember 1977, harga yang ditawarkan adalah sebanyak 448,000 Yen. Jika ditukarkan kepada nilai RM ketika ini, ianya bersamaan RM 18,084.93. Pengeluarnya mengatakan produksi Honda Wing GL500 pada ketika itu ialah 5,000 unit sebulan termasuk untuk eksport.

(Visited 89 times, 1 visits today)