Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 dilancarkan di pasaran Jepun, 46PS, 21Nm, harga bermula dari RM 32,814.51

Selepas pasaran Indonesia dan Thailand, Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 akhirnya dilancarkan secara rasmi di negara asalnya iaitu di pasaran domestik Jepun. Ini menjadikan Jepun sebagai negara ketiga yang menerima kehadiran model tersebut setakat ini. Negara keempat pula, mungkinkah ianya negara Malaysia yang tercinta?

Spesifikasi Ninja ZX-25R di pasaran Jepun secara umumnya sama sahaja seperti mana yang ditawarkan di pasaran Indonesia dan Thailand. Namun agak mengejutkan kerana jumlah kuasa kuda maksimum dan tork maksimum telah menurun kepada hanya 46PS @ 15,500rpm (dengan Ram Air) (45PS tanpa Ram Air) dan 21Nm @ 13,000rpm.

Untuk makluman, Ninja ZX-25R di pasaran Indonesia dan Thailand mempunyai jumlah kuasa maksimum 51PS @ 15,500rpm (dengan Ram Air) (50PS tanpa Ram Air), dan tork puncak 22.9Nm @ 14,500rpm. Sebabnya ialah kerana piawaian di Jepun telah pun mencapai Euro 5, manakala di Indonesia dan Thailand masih lagi dengan Euro 4.

Menurut Kawasaki, Ninja ZX-25R yang dijual di pasaran domestik Jepun merupakan buatan kilang dari negara Thailand, dan didatangkan dalam dua varian iaitu Standard dan SE. Tiga pilihan warna pula ialah Metallic Spark Black (Standard), Metallic Spark Black / Pearl Flat Stardust White (SE) dan Lime Green / Ebony (KRT Edition) (SE).

Harga jualan yang ditetapkan adalah sebanyak 825,000 Yen (bersamaan RM 32,814.51 mengikut kadar semasa) untuk varian Standard, manakala varian SE berharga sebanyak 913,000 Yen (bersamaan RM 36,314.72 mengikut kadar semasa). Selain itu kalau tidak silap, varian Standard juga dibekalkan sistem brek ABS seperti varian SE.

Berdasarkan maklumat di dalam laman sesawang Kawasaki Japan, ciri-ciri eksklusif yang ada pada varian SE berbanding varian Standard ialah lima kesemuanya iaitu Quick Shifter (UP/DOWN), Windshield (smoke), Frame Slider (left and right set), USB Power Socket dan Wheel Rim Tape. Berkenaan Pillion Seat Cover, tidak pula disebut.

Walaupun dilancarkan di pasaran domestik Jepun pada hari ini (17hb. Julai 2020), tarikh sebenar Kawasaki Ninja ZX-25R 2021 akan berada di pasaran Jepun (expected release date) ialah pada 10hb. September 2020. Untuk pasaran Malaysia, sama-samalah kita tunggu sebarang petunjuk daripada Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd.

Artikel berkaitan :

(Visited 243 times, 1 visits today)