Yamaha YZF-R15 2020 dilancarkan di pasaran Australia

Yamaha Motor Australia baru-baru ini telah melancarkan model terbaharu Yamaha YZF-R15 model tahun 2020, dalam dua pilihan skim warna menarik iaitu Racing Blue dan Thunder Grey. Untuk pasaran Australia, Yamaha YZF-R15 ditawarkan pada harga sebanyak $ 4,799, bersamaan RM 14,220.16 mengikut kadar tukaran semasa.

Berkenaan spesifikasi, perbezaan yang dapat dilihat jika dibandingkan dengan Yamaha YZF-R15 di pasaran Malaysia ialah di bahagian suspensi depan. Untuk pasaran Australia, model berkenaan hanya dilengkapi fork depan jenis teleskopik, sama seperti model yang ditawarkan di pasaran India. Untuk pasaran negara kita, Yamaha YZF-R15 dilengkapi fork depan jenis upside-down berwarna emas yang tampil lebih sporty.

Selain itu, sistem Assist & Slipper Clutch juga tidak diumumkan di bahagian spesifikasi di dalam laman sesawang Yamaha Motor Australia. Spesifikasi lain adalah sama, dilengkapi enjin 155cc VVA dengan transmisi enam kelajuan, kerangka Deltabox, lampu depan LED berkembar, meter digital LCD dan sistem brek cakera yang berprestasi.

(Visited 193 times, 1 visits today)