Pengeluaran MV Agusta Brutale 1000 RR 2020 kini bermula

MV Agusta baru-baru ini telah mengumumkan pengeluaran untuk model naked terbaharu Brutale 1000 RR 2020 telah pun bermula. Model tersebut sebelum ini diperkenalkan di EICMA 2019, diasaskan daripada model Brutale 1000 Serie Oro dengan beberapa kemaskini baharu agar harganya menjadi lebih mampu milik.

MV Agusta Brutale 1000 RR tampil dengan dua pilihan warna iaitu Metallic Avio Grey / Fluo Yellow / Dark Metallic Matt Grey / Matt Carbon dan Ago Red / Dark Metallic Matt Grey / Matt Carbon. Mempunyai spesifikasi tinggi dan premium, ianya dilengkapi sistem brek Brembo dengan ABS dan pakej suspensi daripada jenama terkenal Öhlins.

Kelengkapan lain termasuklah paparan panel TFT 5 inci generasi kedua, sistem lampu LED, sistem Ride By Wire dengan empat mod tunggangan dan kawalan traksi dengan lapan talaan, yang dibantu oleh unit IMU. Front Lift Control, Launch Control, Cruise Control dan sistem quick shifter up & down antara yang melengkapkan pakejnya.

Dari segi prestasi, Brutale 1000 RR 2020 ini dikuasakan enjin 998cc (four cylinder, 4 stroke, 16 valve) dengan transmisi enam kelajuan, menghamburkan kuasa maksimum sehingga 208hp @ 13,000rpm dengan tork puncak 116.5Nm @ 11,000rpm. Dengan berat kering 186 kg, jentera streetfighter ini mampu memecut melebihi 300 km/j.

Untuk ciri keselamatan pada tahap tertinggi, sistem breknya dikekalkan sama seperti yang dimiliki oleh Brutale 1000 Serie Oro . Ianya terdiri daripada kaliper depan Brembo Stylema yang berprestij, kaliper radial dan cakera terapung 320 mm. Melengkapkannya ialah cakera belakang berdiameter 220 mm dengan gandingan kaliper dua piston.

Berdasarkan maklumat terdahulu pada Februari 2020, Brutale 1000 RR boleh dimiliki pada harga bermula dari 29,990 Euro. Sebagai perbandingan, Brutale 1000 Serie Oro dijual pada harga bermula dari 42,990 Euro. Perbezaan harga di antara kedua-duanya nampak ketara, bermakna Brutale 1000 RR merupakan pilihan yang lebih mampu milik.

(Visited 102 times, 1 visits today)