Honda perkenal CB400 Super Four 2020, tampil istimewa dengan warna Matte Beta Silver Metallic

Pada pertengahan Disember 2019 yang lepas, Honda telah memperkenalkan model CB400 Super Four 2020, yang tampil istimewa dengan warna Matte Beta Silver Metallic. Model tersebut bagaimanapun ditawarkan di pasaran domestik Jepun hanya dalam tempoh masa terhad, bermula dari tarikh 17hb. Januari 2020.

Seperti mana dapat dilihat, warna utama Matte Beta Silver Metallic pada Honda CB400 Super Four itu digabungkan dengan jalur berkontras rendah pada tangki bahan api dan cowl tempat duduk. Di samping itu, penutup kepala silinder dan rim roda depan dan belakang dipadankan dengan warna coklat keemasan yang sporty dan tenang.

Honda CB400 Super Four dilengkapi enjin empat lejang bersesaran 399cc dengan ciri empat silinder sebaris, DOHC, empat injap dan sistem penyejukan cecair. Dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, enjin berprestasi itu kemudiannya menghasilkan kuasa maksimum 56PS @ 11,000rpm dan tork maksimum 39Nm @ 9,500rpm.

Spesifikasi lain yang melengkapi Honda CB400 Super Four antaranya seperti tangki bahan api dengan isian penuh 18 liter, ketinggian tempat duduk 755 mm, sistem brek cakera dengan ABS dan berat motosikal 201 kg. Harga yang ditawarkan adalah sebanyak 917,400 Yen, bersamaan RM 36,587.11 mengikut kadar tukaran semasa.

(Visited 267 times, 1 visits today)