Ducati Superleggera V4 bernombor 001/500 diserahkan kepada pelanggan pertama di Borgo Panigale

CEO Ducati, Claudio Domenicali baru-baru ini secara rasminya membuat penyerahan pertama model Superleggera V4 bernombor 001/500 kepada pelanggannya, dalam suatu majlis penyerahan yang diadakan di Borgo Panigale, Bologna, Itali.

Pelanggan pertama Ducati yang bertuah itu bernama Filip Van Schil dari Belgium, merupakan seorang Ducatista tegar yang sebelum ini telah pun memiliki sembilan buah motosikal Ducati. Ternyata Filip Van Schil sangat teruja ketika menerima motosikalnya itu dan mengatakan ianya merupakan pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan.

Pada kesempatan itu juga pihak Ducati telah menjemput Van Schil ke lawatan khas di kilang Ducati, yang membolehkannya melihat dengan lebih dekat tempat di mana motosikalnya di bina dan bertemu dengan pekerja khas yang membuat enjinnya.

Lawatan tersebut kemudiannya diteruskan dengan melawat muzium Ducati, Centro Stile Ducati dan Racing Department. Di samping itu seperti mana semua pemilik Panigale V4, Filip juga akan berpeluang untuk menguji Panigale V4 R, jentera yang mengambil bahagian dalam perlumbaan SBK World Championship, di litar Mugello sebagai sebahagian daripada sesi “Superbike Experience”.

Ducati Superleggera V4 merupakan satu-satunya motosikal di dunia dengan kerangka, lengan ayun dan rim yang diperbuat daripada material karbon fiber, dengan homologasi untuk kegunaan di jalan raya. Motosikal supersport berkuasa tinggi itu dikeluarkan oleh Ducati dalam jumlah terhad 500 unit sahaja untuk pasaran global.

(Visited 191 times, 1 visits today)