Scrambler Ducati Club Italia 2020 diperkenalkan, eksklusif untuk ahli kelab Scuderia Club Italia

Ducati pada 22hb. Jun 2020 baru-baru ini secara rasminya memperkenalkan Scrambler Ducati Club Italia 2020, yang terhasil daripada kolaborasi di antara Ducati Design Center dan Scuderia Club Italia. Menurut Ducati, pengeluaran model edisi terhad itu ditawarkan eksklusif hanya untuk ahli kelab Scuderia Club Italia sahaja.

Scuderia Club Italia merupakan persatuan berteraskan budaya permotoran, ditubuhkan pada tahun 1989 oleh pemandu, penasihat dan peminat kereta lumba/vintaj. Jumlah ahlinya tidak melebihi 80 orang mengikut undang-undang persatuan yang ditetapkan, dan setiap ahlinya disatukan melalui semangat yang kuat terhadap dunia automobil.

Pembangunan model istimewa Scrambler Ducati Club Italia terbaharu ini merupakan susulan daripada kerjasama sebelumnya di antara Ducati dan Scuderia pada tahun 1995, melalui pengeluaran model “Monster 900 Club Italia” dalam jumlah terhad 30 unit sahaja. Model berkenaan kini dikatakan menjadi buruan para pengumpul koleksi.

Scrambler Ducati Club Italia diasaskan daripada model Scrambler Ducati 1100 Sport PRO, tampil dengan rekaan grafik unik dan pelbagai aksesori, menjadikannya model Scrambler paling eksklusif pernah dibina oleh Ducati. Sorotan utamanya merangkumi tempat duduk kulit merah oleh Poltrona Frau bersulamkan logo Club Italia, dan tangki biru metalik dengan panel sisi merah terang yang dihiasai logo Ducati rekaan Giugiaro.

Kerangkanya mempunyai kemasan warna biru metalik sama seperti tangki, manakala subkerangka di bahagian belakang didatangkan warna aluminium semulajadi. Fender depan dan belakang ialah aluminium dengan kemasan tricolour. Rim roda berjejari berwarna hitam kemudiannya melengkapi karakter menarik model berkenaan. Lebih dari itu ialah plak aluminium di atas kerangka yang mengenalpasti nombor sirinya.

Penghantaran Scrambler Ducati Club Italia 2020 kepada pemiliknya akan bermula dalam bulan September akan datang. Setiap pelanggan akan menerima penutup motosikal yang diperibadikan, sijil pengesahan keaslian dan topi keledar Bell buatan tangan yang dipadankan dengan warna motosikal dengan ciri grafik yang khusus.

Menurut Ducati lagi, kerjasama di antara syarikat tersebut dengan Scuderia Club Italia tidak terbatas kepada rekaan motosikal semata-mata, sebaliknya juga melibatkan sumbangan yang ditujukan kepada usaha untuk memerangi pandemik Covid-19.

Bagi setiap pembelian, sejumlah 500 Euro akan didermakan kepada badan pengumpul dana #raceagainstCovid yang dikelolakan oleh Ducati, untuk didermakan kepada Hospital S. Orsola di Bologna, Itali. Sumbangan tersebut merupakan inisiatif untuk memberikan pemulihan yang berkesan kepada mereka yang pulih daripada Covid-19.

(Visited 76 times, 1 visits today)