Mengenang kembali Honda CBR150R di pasaran Malaysia (2008 – 2009)

Untuk pasaran Indonesia sejak tahun 2016 yang lalu, PT Astra Honda Motor (AHM) telah memperkenalkan Honda CBR150R generasi baharu yang dilengkapi enjin empat lejang 150cc. Model berkenaan juga tampil dengan reka bentuk sporty dan menerima sambutan yang baik dari pengguna motosikal di negara jiran tersebut.

Sejak beberapa tahun yang lepas, telah terdengar khabar angin bahawa pihak Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (BSH) akan turut melancarkan model Honda CBR150R generasi baharu itu untuk pasaran Malaysia, namun sehingga kini ianya masih belum menjadi kenyataan. Mungkinkah pihak BSH tidak mahu kegagalan lalu kembali berulang?

Jika anda masih ingat, BSH suatu ketika dahulu pernah memperkenalkan generasi pertama Honda CBR150R di pasaran Malaysia, yang dilancarkan secara rasmi dalam bulan Disember 2007. Model tersebut sebenarnya muncul buat pertama kali di pasaran Thailand pada tahun 2002, dan kemasukannya ke pasaran Malaysia agak terlewat.

Bagaimanapun bukan itu yang menjadi isu, sebaliknya penerimaan pengguna motosikal di pasaran tempatan terhadap model berkenaan yang tidak memuaskan. Oleh kerana statistik jualan yang tidak mencapai sasaran, jualan Honda CBR150R di pasaran Malaysia pada ketika itu terpaksa ditamatkan lebih awal, sehingga tahun 2009 sahaja.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan kemunculan model berkenaan tidak berjaya menarik perhatian pembeli di pasaran tempatan. Pertama ialah kerana reka bentuk badannya yang terlalu langsing dan kurus, menjadikan penampilannya tidak menarik jika dibandingkan dengan model terdahulu Honda NSR150 dengan enjin dua lejang.

Faktor kedua ialah pelancaran model Yamaha FZ150i pada 16hb. Januari 2008, yang mana model naked tersebut juga dilengkapi enjin 150cc empat lejang, namun dengan kelebihan sistem suntikan bahan api yang canggih. Sedangkan Honda CBR150R masing dilengkapi sistem penyampaian bahan api konvensional jenis karburator.

Faktor ketiga dan paling kritikal ialah persaingan harga di antara Honda CBR150R dan Yamaha FZ150i. Pada tahun pertama kedua-dua model berkenaan berada di pasaran tempatan, Honda CBR150R ditawarkan pada harga sekitar RM 10,000.00, manakala Yamaha FZ150i ditawarkan pada harga lebih rendah iaitu sekitar RM 7,800.00.

Apa yang boleh kita katakan secara kemungkinannya, kegagalan generasi pertama Honda CBR150R di pasaran negara kita pada tahun 2008 dan 2009 dahulu mungkin menjadi penyebab utama kenapa pihak BSH sehingga kini tidak membawa masuk Honda CBR150R generasi baharu yang kini sudahpun sampai ke model tahun 2020.

Ramalan Arena Motosikal, jika Honda CBR150R 2020 di bawa masuk ke pasaran Malaysia, ianya dijamin tidak akan menerima nasib yang sama seperti model CBR150R terdahulu. Sekurang-kurangnya model terkini Yamaha YZF-R15 akan mempunyai saingan sebenar, menjadikan dunia permotoran di negara kita akan bertambah meriah.

Untuk maklumat lanjut mengenai spesifikasi dan ciri-ciri Honda CBR150R model tahun 2008 – 2009, anda boleh mendapatkannya dalam paparan brosur seperti di bawah.

(Visited 1,740 times, 1 visits today)