Taro GP1 400R di pasaran China, harga RM 15,567.99

Motosikal sportbike yang mempunyai rekaan menarik dan berpenampilan sporty ini dikenali dengan nama Taro GP1 400R, berasal dari negara China. Ianya dikeluarkan oleh syarikat yang bernama Zhejiang Chuangtai Motorcycles Co., Ltd., dan dijual pada harga CNY 258,000, bersamaan RM 15,567.99 mengikut kadar tukaran semasa.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, Taro GP1 400R diperkenalkan di pasaran China sejak tahun 2018. Ianya dikuasakan enjin empat lejang dua silinder yang mempunyai sesaran 377.7cc. Enjin tersebut dilengkapi sistem penyejukan cecair, seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Janaan kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 37.5hp @ 9,000rpm, dengan tork 35Nm @ 6,500rpm.

Taro GP1 400R mempunyai berat 178 kg (net weight), ketinggian tempat duduk 800 mm, jarak roda 1,422 mm dan tangki bahan api dengan isian maksimum 14 liter. Beralih ke bahagian sistem suspensi pula, ianya terdiri daripada gabungan di antara fork depan jenis terbalik dan penyerap hentak monoshock di bahagian belakang.

Untuk pemberhentian yang lebih cekap dan selamat, Taro GP1 400R didatangkan dengan sepasang brek cakera depan yang berukuran 300 mm, manakala di bahagian belakangnya ialah brek cakera tunggal dengan diameter 240 mm. Kedua-dua sistem brek tersebut kemudiannya dilengkapi dengan sistem ABS.

Kesimpulannya, Taro GP1 400R ini walaupun ianya merupakan produk buatan China, pujian harus diberikan kerana hadir dengan reka bentuk yang bukan saja boleh dikatakan asli, malah tampil bergaya sporty dan elegan. Ciri-ciri yang melengkapinya juga menarik, apatah lagi harga yang ditawarkan sangat berpatutan.

(Visited 3,390 times, 1 visits today)