Aprilia RS 50 model tahun 2020 di pasaran Eropah, masih dilengkapi enjin dua lejang bersesaran 50cc

Selain daripada model Aprilia RS 125 2020, pasaran Eropah ketika ini turut menerima model Aprilia RS 50 dengan enjin dua lejang yang mempunyai sesaran hanya 50cc. Sejarah panjang model berkenaan bermula sekitar tahun 1990an lagi, dan ketika ini telah berevolusi kepada rekaan baharu yang bermula sejak tahun 2011.

Bagi model tahun 2011 sehingga tahun 2016, ianya dikenali dengan nama Aprilia RS4 50, namun kemudiannya huruf 4 telah digugurkan sejak tahun 2017, menjadikan nama baharunya kekal sebagai Aprilia RS 50 sehingga kini. Bagi model tahun 2020 ketika artikel ini ditulis, ianya masih lagi model yang sama sejak beberapa tahun lepas.

Berdasarkan pemerhatian di dalam laman sesawang Aprilia, tiada paparan maklumat mengenai kuasa kuda dan tork yang dihasilkan oleh enjin dua lejang 50cc satu silinder yang melengkapi model berkenaan. Enjin tersebut dilengkapi transmisi enam kelajuan, sistem penyejukan cecair, serta mematuhi piawaian Euro 4. Tangki bahan apinya mempunyai isian penuh 14.5 liter, manakala berat motosikal ialah 132 kg (wet weight).

Beralih ke bahagian suspensi, ianya terdiri daripada fork depan jenis upside-down dengan diameter 40 mm, sementara di bahagian belakangnya ialah penyerap hentak belakang jenis monoshock. Untuk pemberhentian yang lebih cekap dan selamat, sistem brek cakera depannya berukuran 300 mm dengan kaliper radial 4-piston, dengan gandingan brek cakera belakang 218 mm dengan kaliper satu piston tunggal.

Menurut Aprilia, antara ciri-ciri yang menjadi kelebihan RS 50 ini termasuklah kerangka perimeter aluminium yang ringan dan kukuh, panel meter ringan dan kompak dengan pelbagai informasi bagaikan jentera perlumbaan, lampu belakang LED, ruang barangan (storage compartment) yang luas yang boleh menempatkan tablet berukuran 6 inci, di samping gaya tunggangannya yang dikatakan sentiasa bersedia untuk beraksi di litar.

Harga jualan untuk Aprilia RS 50 2020 di pasaran UK adalah sebanyak  £ 4,099, bersamaan RM 21,683.17 mengikut kadar tukaran semasa, dan tersedia dalam pilihan warna Silver Speed dan Black Speed. Untuk makluman, kebanyakan negara di rantau Eropah hanya membenarkan penunggang berusia antara 14 sehingga 16 tahun menunggang motosikal dan skuter dengan enjin di bawah 50cc sahaja.

(Visited 1,446 times, 1 visits today)