Yingang Flash 150 model tahun 2020, buatan China

Ini merupakan model Yingang Flash 150 model tahun 2020, dikeluarkan oleh syarikat Chongqing Yingang Technology (Group) Co., Ltd. dari negara China. Namun tipikal untuk motosikal buatan China, model ini mungkin akan diberikan pelbagai nama yang berbeza untuk pasaran yang berbeza, di bawah pelbagai jenama yang juga berbeza.

Mana tahu suatu hari nanti tiba-tiba sahaja model ini dibawa masuk ke pasaran Malaysia, diberikan nama tempatan dengan tagline Buatan Malaysia. Jadi dengan melihat gambar-gambar Yingang Flash 150 di dalam artikel ini, sekurang-kurangnya kita akan tahu asal-usul model ini, sebagai panduan sebelum membuat pembelian.

Bagaimanapun diakui Yingang Flash 150 ini mempunyai reka bentuk yang boleh dikatakan agak menarik dan sporty, tambahan pula ianya dilengkapi enjin 150cc dengan sistem sejukan udara dan dipadankan transmisi lima kelajuan. Masih menggunakan sistem penyampaian bahan api jenis karburator, enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 11hp (8.2kW) @ 7,000rpm dengan tork 12Nm @ 5,500rpm.

Yingang Flash 150 mempunyai berat kering 113 kg dan dilengkapi tangki bahan api maksimum 5 liter. Kelebihan lain yang dimilikinya ialah panel meter digital, sistem lampu LED, suspensi belakang monoshock, dan sistem brek cakera depan dan belakang. Nampaknya menarik juga kalau model ini dibawa masuk ke pasaran negara kita.

(Visited 8,971 times, 1 visits today)