Pada Oktober 2008, Aprilia RS125 2009 dilancarkan untuk pasaran Malaysia, harga bermula dari RM 22,300.00

Selain daripada model Cagiva Mito 125 yang kini telah menjadi legenda dalam dunia permotoran tempatan, sebuah lagi model yang hampir serupa iaitu Aprilia RS125 juga telah mendapat pengiktirafan yang sama. Kedua-dua model berkenaan merupakan seteru utama pada zaman sekitar 1990an yang berpanjangan sehingga tahun 2010.

Sejarah kedatangan model pertama Aprilia RS125 ke pasaran Malaysia tidak dapat dipastikan dengan tepat, namun bagi versi terakhir yang dikeluarkan dari tahun 2006 sehingga 2012, model tersebut telah dilancarkan di pasaran tempatan dengan rasminya pada tarikh 17hb. Oktober 2008, bertempat di Litar Antarabangsa Sepang.

Pemilihan lokasi berkenaan untuk pelancaran Aprilia RS125 model tahun 2009 itu sebenarnya dilakukan bersempena dengan pusingan perlumbaan MotoGP yang diadakan pada hujung minggu tersebut. Moto Millia selaku pengedar tunggal motosikal Aprilia di pasaran tempatan pada ketika itu, pada masa yang sama turut melancarkan tiga lagi model iaitu Aprilia SXV 5.5, Aprilia Shiver 750 dan Aprilia Mana 850.

Untuk pasaran tempatan, harga asas yang ditawarkan untuk Aprilia RS125 2009 adalah sebanyak RM 22,300.00 untuk warna biasa, manakala untuk warna Racing, harganya dikatakan sebanyak RM 24,300.00. Tiga pilihan warna menarik ditawarkan untuk model berkenaan iaitu Aprilia Black, Fluo Red dan warna eksklusif Talmacsi Replica.

Aprilia RS125 bagi versi keluaran tahun 2006 sehingga 2012 masih lagi dikuasakan enjin Rotax dua lejang dalam sesaran 124.8cc (single cylinder two-stroke, aluminium cylinder with Nikasil coated liner, reed valve induction, liquid-cooled), dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin dua lejang itu mampu mencapai 29hp @ 11,000rpm dengan tork 19Nm @ 9,000rpm.

Selain daripada reka bentuknya yang mengambil inspirasi daripada model supersport Aprilia yang lebih besar, model tersebut juga mendapat pujian kerana menawarkan pelbagai ciri-ciri menarik bagaikan sebuah jentera perlumbaan sebenar. Antaranya termasuklah binaan kerangka dan lengan ayun yang sangat kukuh, fork depan upside-down, sistem brek cakera yang telah dinaik taraf, paparan panel instrumen digital dan analog, berat kering hanya 128 kg dan kuasa pecutannya yang begitu pantas.

Selepas pelancarannya pada Oktober 2008, maklumat mengenai jualan terakhir Aprilia RS125 versi enjin dua lejang di pasaran tempatan tidak diketahui dengan tepat. Namun pada tahun 2012, Naza Premira Sdn. Bhd. yang ketika itu mengambil alih tugas sebagai pengedar motosikal Aprilia di pasaran tempatan, telah menawarkan model terbaharu Aprilia RS4 125 yang dilengkapi enjin empat lejang, pada harga RM 29,311.90.

Sama seperti nasib yang dialami oleh model Cagiva Mito 125 yang dihentikan pengeluarannya pada tahun 2010, hayat Aprilia RS125 dengan enjin dua lejang telah berakhir dengan rasminya pada tahun 2012. Kini kedua-dua model tersebut menjadi legenda dalam kelas tersendiri, diingati kerana prestasi dan kelajuan yang ditawarkan.

Sumber rujukan : Harian Metro, 13hb. November 2008

(Visited 3,158 times, 1 visits today)