Cagiva Mito 125 kini bertaraf legenda di pasaran Malaysia

Peminat dunia permotoran dan motosikal tanah air pastinya mengenali model Cagiva Mito 125 yang pernah ditawarkan di pasaran Malaysia suatu ketika dahulu. Setakat ini tiada maklumat lengkap mengenai sejarah ketibaannya ke pasaran Malaysia, namun pengedarnya MOMOS (Mofaz Motosikal Sdn. Bhd.) tentu mempunyai jawapannya.

Pada tarikh 27hb. Februari 2007, agensi berita tempatan BERNAMA telah melaporkan bahawa MOMOS telah melancarkan kumpulan terakhir motosikal tersebut yang lebih dikenali dengan nama MOMOS Cagiva Mito 125 Fauzy’s Edition, dan akan berada di pasaran tempatan bermula akhir bulan Mac 2007. Harga untuk model versi CKD itu ialah RM 19,244.50, dan boleh didapati dalam dua pilihan warna merah dan hitam. Pengeluaran model itu pula dikatakan terhad kepada hanya 300 unit sahaja.

Tentu ramai generasi baharu yang tertanya-tanya apakah keistimewaan Cagiva Moto 125 yang sehingga kini namanya masih lagi menjadi sebutan, seterusnya menjadi sebuah model legenda di pasaran tanah air kita. Selain daripada reka bentuknya yang sporty, Cagiva Mito 125 sebenarnya lebih dikenali kerana prestasinya yang mantap bagaikan sebuah jentera perlumbaan sebenar yang sah di atas jalan raya.

Model tersebut dikuasakan enjin dua lejang bersesaran 124.63cc (Single cylinder, 2-stroke, Liquid-cooled) yang kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai angka 34hp @ 12,000rpm, suatu jumlah yang boleh dikatakan begitu tinggi untuk sebuah jentera motosikal dalam kelas 125cc. Berat keringnya pula hanya 129 kg, jadi bayangkan bagaimana kemampuan pecutannya.

Cagiva Mito 125 Fauzy’s Edition (sumber : Chia Motor Sdn Bhd FB)

Antara kelebihan lain Cagiva Mito 125 yang menjadikannya sebagai sebuah model unggul di zamannya ialah apabila ianya dilengkapi dengan beberapa komponen premium seperti suspensi depan jenis terbalik berjenama Marzocchi, suspensi belakang monoshock daripada Sachs dengan lengan ayun jenis banana dan sistem brek cakera Brembo. Tangki bahan apinya pula mampu mengisi petrol sehingga isian penuh 14 liter.

Antara sejarah menarik mengenai model Cagiva Mito 125 ini yang perlu anda tahu, ianya pernah digunakan oleh Valentino Rossi pada awal kariernya untuk meraih kejuaraan dalam siri perlumbaan Italian Sport Production Championship pada tahun 1994. Kejayaan tersebut telah menaikkan lagi status legendanya kerana mempunyai pertalian dengan bekas juara MotoGP antara yang terhebat pada zamannya.

Selain itu di pasaran USA, Cagiva Mito 125 juga pernah ditawarkan pada awal milenium dalam tiga pilihan warna menarik iaitu merah, kuning dan hitam. Namun begitu ianya hanya dijual untuk kegunaan litar atau di jalan tertutup sahaja dan tidak sah untuk ditunggang di jalan raya biasa. Malah setiap pembeli perlu menandatangani perjanjian bahawa mereka tidak akan menggunakan motosikal tersebut di jalan raya biasa.

Bagaimanapun apa yang agak menyedihkan, Cagiva ketika ini tidak lagi aktif dalam pengeluaran model-model motosikal terbaharu, bermakna legasi Cagiva Mito 125 telah pun berakhir. Generasi terakhir Cagiva Mito SP525 versi jalanan telah diperkenalkan di pasaran pada tahun 2008, namun ianya tidak lebih sebagai simbolik ucapan selamat tinggal, bukan saja kepada peminat tegarnya di Eropah, malah di Malaysia.

(Visited 4,483 times, 1 visits today)