Suzuki Belang R150 dalam kenangan (2009 – 2016)

Untuk peminat motosikal tempatan, Suzuki Belang R150 merupakan salah sebuah model antara yang paling diingati pernah berada di pasaran Malaysia. Model ini adalah sebaris dengan model Honda Hurricane, kedua-duanya berada dalam segmen naked, atau di pasaran Indonesia ianya dikenali sebagai segmen motor ayago (ayam jago).

Suzuki Belang R150 pada mulanya dilancarkan untuk pasaran tempatan dalam bulan April 2009, dan pengeluarannya boleh dikatakan berakhir secara rasmi dalam tahun 2016 apabila Suzuki Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. menutup kilang mereka di Kawasan Perusahaan Prai, Pulau Pinang. Selepas itu, Suzuki Assemblers hanya menumpukan jualan mereka kepada model-model motosikal besar sahaja.

Antara sebab kenapa Suzuki Assemblers tidak lagi menawarkan motosikal kapcai, moped dan skuter dengan enjin kecil di pasaran tempatan ialah kerana jumlah jualan yang rendah. Jenama Suzuki tewas kepada jenama-jenama seterunya seperti Modenas, Yamaha dan Honda, ditambah pula dengan kemunculan pelbagai jenama motosikal lain seperti SYM, Demak, Naza, Nitro, Comel, JRD, KTNS dan lain-lain.

Kembali kepada model Belang R150, spesifikasi dan ciri-ciri yang ditawarkan olehnya boleh dikatakan mengatasi pencabar-pencabarnya yang lain pada ketika itu. Bayangkan sebuah model motosikal dalam kategori moped dengan berat hanya 108 kg (kerb weight), telah dilengkapi enjin empat lejang satu silinder, DOHC empat injap dengan kapasiti 147cc, dan dipadankan transmisi enam kelajuan dengan klac manual.

Lebih dari itu, Suzuki Belang R150 juga dilengkapi paparan meter digital dengan gabungan takometer analog, brek cakera depan dan belakang, suspensi belakang jenis monoshock, serta rim aluminium 10 jejari yang sporty. Juga terdapat sistem Suzuki Drive Mode Switch (SDMS) yang membolehkan penunggang memilih mod tunggangan biasa, mod tunggangan ekonomi (ECO) atau mod tunggangan kuasa (PWR).

Harga yang ditawarkan ketika ianya dilancarkan adalah sebanyak RM 7,570.00 sahaja. Selain daripada model standard, beberapa tahun selepas itu Suzuki Belang R150 Special Edition telah dilancarkan dalam skim pilihan warna emas dan hitam. Sepanjang pengeluarannya, Suzuki Belang R150 telah menerima kemaskini warna dan grafik baharu, namun berdasarkan pemerhatian, tiada sebarang perubahan aspek teknikal.

Dari segi jualan, diakui Suzuki Belang R150 kurang menjadi pilihan pembeli. Ini kerana citarasa peminat motosikal tempatan yang lebih gemar memilih model-model kapcai dan moped lain yang mempunyai reka bentuk konvensional, terutamanya yang dapat dipasangkan raga kerana ianya lebih pratikal untuk kegunaan ke kedai atau ke pasar.

Sekitar tahun 2015 dan 2016 yang lalu, saya sempat merakamkan video dan gambar-gambar menarik Suzuki Belang R150, seperti mana anda boleh saksikannya dalam paparan di atas. Tidak terlintas di fikiran pada ketika itu bahawa Suzuki Belang R150 akan menjadi yang pertama dan terakhir di pasaran tempatan, tanpa ada pengganti.

Bagaimanapun untuk pasaran negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina, Suzuki Belang R150 generasi baharu dengan reka bentuk lebih sporty dan dilengkapi sistem suntikan bahan api, masih dijual seperti biasa. Entah bila agaknya Suzuki Belang R150 akan membuat kepulangan kembali ke pasaran Malaysia.

(Visited 5,168 times, 1 visits today)