QJ Motor perkenal SRK600 untuk pasaran China

Sebelum ini Benelli dikatakan bakal melancarkan sebuah model street fighter baharu yang akan diberi nama SRK600, namun setakat ini masih belum menjadi kenyataan. Bagaimanapun untuk pasaran negara China, model tersebut telah pun diperkenalkan baru-baru ini, namun di bawah jenama motosikal baharu QJ Motor.

Baik Benelli dan QJ Motor, kedua-duanya berada di bawah syarikat Zhejiang Qianjiang Motorcycle Group Co., jadi bermakna pengenalan QJ SRK600 ini adalah untuk pasaran negara China. Bagi model Benelli SRK600 pula, atau mungkin nanti akan diberikan nama lain, ianya dijangkakan khusus untuk pasaran luar negara selain China.

SRK600 untuk pasaran negara China ini bukan saja tampil sporty dan agresif, malah dilengkapi enjin 600cc empat silinder (liquid-cooled, DOHC) yang berprestasi. Kuasa yang dihamburkannya mencecah 81.6PS (60kW) @ 11,000rpm dengan tork maksimum 55Nm @ 8,000rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Spesifikasi lain yang didatangkan untuk QJ SRK600 termasuklah fork depan jenis terbalik berwarna emas, suspensi belakang monoshock yang dipasang pada posisi sebelah kanan motosikal, sistem brek cakera dengan ABS, sistem lampu LED, paparan instrumen digital TFT IPS berukuran 5 inci, penghidup enjin tanpa kunci (keyless ignition), dan empat pilihan warna menarik iaitu merah, hitam, putih dan biru.

Untuk pasaran China, SRK600 didatangkan dalam tiga varian iaitu Standard, Medium dan High. Perbezaan antara ketiga-tiga varian itu melibatkan komponen suspensi depan, suspensi belakang dan sistem brek. Untuk varian High, ianya dilengkapi suspensi depan Marzocchi, suspensi belakang KYB dan sistem brek Brembo.

Berkenaan harga, QJ SRK600 varian Standard ditawarkan sebanyak 43,999 Yuan, manakala varian Medium dan High masing-masing mempunyai tanda harga 46,999 Yuan dan 49,999 Yuan. Ketiga-tiga harga tersebut bersamaan RMĀ  26,479.33, RM 28.284.78 dan RM 30,090.23, berdasarkan kadar tukaran mata wang semasa.

(Visited 7,004 times, 1 visits today)