Deruman enjin Kawasaki Ninja ZX-25R di Litar Jerez, aksi terkini bersama Jonathan Rea

Kawasaki mungkin menghadapi sedikit masalah untuk melancarkan model terbaharu yang ditunggu-tunggu Kawasaki Ninja ZX-25R, antaranya disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak beberapa bulan yang lalu.

Bagaimanapun bagi terus mengingatkan peminat dunia permotoran di seluruh dunia mengenai kehadiran Ninja ZX-25R yang bakal tiba, juga sebagai promosi menjelang pelancarannya, beberapa buah video menarik mengenai model berkenaan telah dimuat naik oleh Kawasaki ke dalam saluran YouTube mereka.

Salah satu daripadanya ialah video pertama aksi Ninja ZX-25R di Litar Jerez yang dtunggang oleh pelumba handalan Jonathan Rea, dimuat naik ke dalam siaran YouTube Kawasaki Indonesia pada tarikh 13hb. Mac 2020.

Apa yang paling menarik perhatian mengenai video tersebut ialah paparan kelajuan yang ditunjukkan, di mana Ninja ZX-25R hanya mencapai kelajuan sehingga 162 km/j sahaja. Ini menimbulkan perdebatan hangat bahawa tidak mungkin setakat itu sahaja kelajuan maksimum untuk sebuah jentera 250cc dengan enjin empat silinder.

Baru-baru ini pula, siaran YouTube Kawasaki Indonesia sekali lagi memuat naik video aksi Ninja ZX-25R di Litar Jerez, yang mana ianya merupakan video kedua aksi motosikal tersebut yang ditunggang oleh Jonathan Rea.

Melalui video kedua tersebut, Kawasaki mahu peminat Ninja ZX-25R mendengar deruman ekzosnya dengan lebih jelas, di samping memaparkan senarai spesifikasi dan teknologi-teknologi canggih yang melengkapi jentera berkenaan.

Namun apa yang masih terkurang daripada paparan informasi tersebut ialah jumlah kuasa kuda dan tork yang dihasilkan oleh enjin Ninja ZX-25R masih belum diumumkan secara rasmi, menjadikannya kekal rahsia dan sedikit sebanyak mengecewakan.

Malah, melalui video tersebut juga mendapati Kawasaki masih gagal untuk memberi petunjuk sebenar mengenai kelajuan maksimum Ninja ZX-25R, padahal mereka boleh saja melakukannya sebelum ini di Litar Jerez dengan bantuan Jonathan Rea.

Mungkin selepas ini masih ada lagi video ketiga aksi Ninja ZX-25R di Litar Jerez, atau video-video seterusnya selagi pelancarannya belum dimuktamadkan. Namun semakin lama menunggu, rasanya momentum keterujaan peminat juga semakin menurun.

Bagaimana pun, Kawasaki dipercayai tidak akan mengecewakan para peminat dan juga bakal pelanggannya begitu sahaja. Dijangkakan pelancaran Ninja ZX-25R bakal mengambil tempat dalam bulan Jun 2020 akan datang.

Untuk anda yang mahu mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai Kawasaki Ninja ZX-25R terbaharu ini, boleh membaca artikel-artikel terdahulu dalam pautan di bawah :

(Visited 948 times, 1 visits today)