SYM VF 125 dilancarkan di pasaran Greece pada tahun 2019

Pasaran motosikal di Greece merupakan antara pasaran yang dekat di hati rakyat Malaysia. Ini kerana Modenas pernah melancarkan beberapa buah model motosikal di pasaran negara tersebut, seperti Modenas Kriss 100, Modenas Dinamik 125, Modenas X-cite 135, Modenas Kristar 125, Modenas GT135 (GT128) dan Modenas Kriss 125.

Namun begitu Modenas kini tidak lagi menjual motosikal keluaran mereka di pasaran Greece, atas sebab-sebab yang tidak dapat dipastikan. Namun begitu, syarikat motosikal SYM ada menjual dua buah model motosikal moped di pasaran Greece, dan secara kebetulan kedua-dua model tersebut juga dijual di pasaran Malaysia.

Kedua-dua model motosikal yang dijual di pasaran Greece itu ialah SYM VF 125 dan SYM VF 185. Untuk pasaran Malaysia, SYM VF 125 dikenali dengan nama SYM Sport Rider 125i, manakala SYM VF 185 dikenali dengan nama SYM VF3i 185. Jadi, adakah kedua-dua model di pasaran Greece tersebut berasal dari kilang pemasangan di Malaysia? Mungkin Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. boleh memberikan jawapannya.

Berbalik kepada model SYM VF 125, berdasarkan maklumat terdahulu ianya dilancarkan di pasaran Greece pada tahun 2019. Dikuasakan enjin bersesaran 123cc dengan sistem penyejuk jenis udara, sistem suntikan bahan api EFI daripada KEIHIN dan dipadankan transmisi empat kelajuan, SYM VF 125 mampu menawarkan kuasa maksimum 8.5PS @ 8,000rpm dengan tork puncak 8.7Nm @ 5,500rpm.

SYM VF 125 di pasaran Greece hadir dengan pelbagai ciri-ciri menarik, antaranya seperti central magnetic switch dengan ciri keselamatan dipertingkatkan bagi mengelakkan kes kecurian, panel meter digital LCD dengan takometer analog, lampu DRL (Daytime Running Lights) LED, lampu belakang LED, ruang di bawah tempat duduk untuk simpanan barangan, empat pilihan warna dan rekaan grafik yang sporty.

Untuk keselamatan dan keselesaan pada tahap tertinggi, SYM VF 125 dilengkapi dengan tayar tanpa tiub, di mana tayar belakang mempunyai ukuran lebar 120/70-17 yang menyumbang kepada cengkaman dan kawalan yang lebih baik. Sistem brek cakera dengan diameter 220 mm di bahagian depan (two piston caliper) dan belakang (one piston caliper), diperkemaskan lagi dengan CBS (Combined Braking System).

Sementara itu, sistem suspensi belakang (oil-gas suspensions with external gas tank) boleh dilaraskan mengikut kesesuaian beban muatan, manakala di bahagian depan ialah fork teleskopik dengan travel 94 mm dan diameter 26 mm. SYM VF 125 juga dilengkapi lampu depan (large 12V35 / 35W multi-headlight) yang terang untuk penglihatan dan tahap keselamatan yang lebih baik pada tunggangan waktu malam.

Untuk perjalanan yang lebih jauh, SYM VF 125 dibekalkan tangki bahan api dengan isian maksimum 3.8 liter, bersama-sama tahap penggunaan petrol yang rendah pada kadar hanya 1.87 liter per 100 km (EURO 4). Harga untuk SYM VF 125 di pasaran Greece adalah sebanyak 2,110 Euro, bersamaan RM 10,041.51 pada kadar semasa.

(Visited 831 times, 2 visits today)