Honda umum integrasi Android Auto untuk siri Gold Wing

Dalam tahun 2018, Honda Gold Wing telah direka semula dengan kerangka baharu, pengurangan berat yang radikal, suspensi depan double wishbone, Apple CarPlay, skrin elektrik, Smart Key, 4 mod tunggangan, Hill Start Assist, Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan 4 injap bagi setiap silinder pada enjin 6 silindernya.

Bagi model tahun 2020, Gold Wing telah menerima manfaat daripada kemaskini FI dan DCT bagi meningkatkan lagi kelancaran pada kelajuan perlahan, dan pada versi Tour ianya telah menerima talaan baharu untuk sistem suspensi dan pegangan penumpang yang lebih besar untuk keselesaan maksimum yang lebih baik.

Pilihan warna baharu Matte Ballistic Black Metallic kemudiannya diperkenalkan untuk Gold Wing DCT, dan disertai oleh warna Pearl Glare White untuk Gold Wing Tour DCT. Paling terkini, Gold Wing diumumkan akan menerima integrasi sistem Android Auto mulai pertengahan Jun 2020. Para pemilik Gold Wing dengan telefon pintar Android bakal menikmati servis aplikasi antaranya seperti muzik, panggilan telefon dan mesej.

Sedikit maklumat ringkas mengenai Honda GL1800 Gold Wing model tahun 2020, ianya boleh didapati dalam versi asas Gold Wing, dan diikuti oleh versi Gold Wing Tour dengan ciri top box, air bag dan HSTC. Kedua-dua versi menawarkan sistem transmisi DCT (Dual Clutch Transmission) untuk kemudahan dan keselesaan tambahan.

Honda Gold Wing 2020 dikuasakan enjin enam silinder berkapasiti 1,833cc (liquid-cooled, 4-stroke, 24 valve, SOHC, flat-6) yang menghamburkan kuasa maksimum 124.7hp (93kW) @ 5,500rpm dengan tork puncak 170Nm @ 4,500rpm. Untuk perjalanan jauh, Gold Wing dilengkapi tangki bahan api dengan isian penuh 21.1 liter.

Untuk pasaran Malaysia, Gold Wing Tour telah dilancarkan pada pertengahan Januari yang lepas, dan ditawarkan pada harga asas RM 208,800.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Untuk pasaran tempatan, Boon Siew Honda hanya menawarkan Gold Wing Tour dalam pilihan warna tunggal Pearl Glare White.

(Visited 107 times, 1 visits today)