Pada Jun 2011, motosikal elektrik Modenas CTric dilancarkan

Mungkin ramai yang tidak tahu atau tidak sedar, kira-kira hampir 10 tahun yang lalu Modenas pernah melancarkan sebuah motosikal elektrik. Diberi nama Modenas CTric, motosikal elektrik tersebut dilancarkan secara rasmi pada tarikh 16hb. Jun 2011. Harga yang ditawarkan pada ketika itu adalah sebanyak RM 4,888.00 (harga OTR).

Memandangkan ianya merupakan sebuah motosikal elektrik, Modenas CTric tidak dilengkapi enjin konvensional, sebaliknya dilengkapi motor elektrik dan bateri, yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 3.6 kW @ 70km/j. Transmisinya pula automatik sepenuhnya yang menggunakan rantai untuk penyaluran kuasa ke roda belakang.

Reka bentuknya sama seperti model Modenas CT 100, cuma bezanya CTric tidak mempunyai ekzos. Untuk pengecasan bateri secara normal, ianya mengambil masa sehingga 8 jam, namun menggunakan pengecasan pantas, masa yang diambil hanya 3.5 jam saja. Kitaran pengecasan bateri pula dikatakan mencapai 500 kali, dengan jangka hayatnya selama 2.5 tahun atau 30,000 km sahaja, boleh tahan.

Antara ciri-ciri menarik yang ada pada Modenas CTric ini, adalah seperti speedometer dengan penunjuk paras bateri, mod undur, sensor keselamatan dan bateri sifar penyelenggaraan. Dua pilihan warna yang ditawarkan ialah hijau dan oren.

Dengan kelajuan purata 30 kilometer sejam, Modenas CTric dikatakan mampu mencapai jarak tunggangan sehingga 60 km untuk sekali cas penuh. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai pula ialah 70 kilometer sejam. Boleh dikatakan sesuai untuk mereka yang bergerak dalam radius sehingga 50 kilometer dalam sehari.

Selepas Modenas CTric ini dilancarkan, admin bersama-sama seorang rakan berasa begitu teruja untuk melihat motosikal elektrik ini dari jarak dekat, oleh itu suatu tinjauan di kedai motosikal telah dilakukan. Pada masa yang sama, admin juga membuat rakaman video seperti mana yang anda boleh lihat dalam video YouTube di atas.

Setakat ini, Modenas CTric rasanya tidak lagi ditawarkan untuk pasaran tempatan, malah model ini juga tidak lagi dipaparkan di dalam laman sesawang rasmi Modenas. Apa pun, pujian harus diberikan kepada Modenas kerana berani mencuba untuk menghasilkan sebuah motosikal kapcai yang dikuasakan oleh tenaga elektrik.

(Visited 70 times, 1 visits today)