Kawasaki Ninja 125 2020 terima kemaskini warna baharu

Dalam bulan September 2018 yang lalu, Kawasaki telah memperkenalkan model terbaharu Ninja 125 khusus untuk pasaran Eropah. Berada di pasaran secara rasmi selepas itu sebagai model tahun 2019, kini Ninja 125 hadir sebagai model tahun 2020 dengan kemaskini warna baharu untuk penampilan yang lebih segar.

Sama seperti model tahun 2019, Kawasaki Ninja 125 model tahun 2020 masih lagi menawarkan tiga pilihan warna yang berbeza, kali ini ialah Lime Green / Ebony, Metallic Flat Stardust White / Metallic Flat Spark Black dan Metallic Spark Black / Metallic Flat Spark Black. Beralih ke aspek teknikal, tiada sebarang perubahan buat masa ini.

Ninja 125 hadir dengan enjin satu silinder bersesaran 125cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4 valves) yang dipadankan transmisi enam kelajuan. Enjin tersebut dilengkapi sistem suntikan bahan api dan penghidup elektrik, menawarkan kuasa maksimum pada angka 15PS @ 10,000rpm dengan tork puncak 11.7Nm @ 7,700rpm.

Sistem brek di bahagian depan dan belakang masing-masing menawarkan cakera tunggal berdiameter 290 mm dan 220 mm, bersama-sama kaliper dua piston dan ABS. Suspensi depan pula didatangkan dengan fork teleskopik 37 mm, manakala di bahagian belakang ialah suspensi tunggal (Uni-Trak, gas-charged shock with adjustable preload).

Ciri-ciri lain yang melengkapi Ninja 125 ini termasuklah paparan instrumen digital, tayar depan dan belakang masing-masing dalam siri 100/80-17M/C 52S dan 130/70-17M/C 62S, jarak roda 1,330 mm, ketinggian tempat duduk 785 mm, kelegaan tanah 170 mm, tangki bahan api dengan isian maksimum 11 liter dan berat 148 kg (curb mass).

Untuk pasaran Eropah, Ninja 125 bersaing dengan model-model lain di dalam kelasnya seperti Yamaha YZF-R125, Suzuki GSX-R125 dan Aprilia RS 125.

(Visited 210 times, 1 visits today)