Spekulasi kemunculan Yamaha Exciter 155 VVA 2020 untuk pasaran Vietnam

Yamaha Exciter 150 (Vietnam, Thailand), Yamaha Y15ZR (Malaysia), Yamaha MX King 150 (Indonesia), Yamaha Sniper 150 (Filipina) dan Yamaha Sniper T150 (Singapura), sememangnya tidak dinafikan lagi merupakan salah sebuah model moped antara yang paling popular di pasaran negara-negara ASEAN.

Setakat ini berdasarkan maklumat dan rujukan terdahulu, Yamaha Exciter 150 di pasaran Vietnam merupakan antara model terawal yang akan menerima sebarang perubahan daripada pengeluarnya, sama ada melibatkan aspek kosmetik (facelift version) atau peningkatan teknikal, berbanding model-model kembarnya yang lain.

Oleh itu tidak hairanlah sejak tahun lepas lagi telah terdengar spekulasi bahawa Yamaha Exciter 150 di pasaran Vietnam akan menerima versi baharu yang lebih menarik, dengan enjin yang lebih berkuasa dan ciri-ciri teknikal yang lebih berprestasi. Jadi, apakah perubahan dan peningkatan yang bakal diterima oleh Exciter 150 itu?

Berdasarkan maklumat awal, Yamaha Exciter 150 di pasaran Vietnam dikatakan bakal menerima enjin baharu, kali ini bersesaran 155cc (Single Cylinder, 4 Stroke, SOHC) dengan kelengkapan teknologi VVA (Variable Valve Actuation) yang canggih. Menurut Yamaha, teknologi VVA akan membolehkan kuasa dan tork dimaksimumkan sebaik mungkin pada setiap putaran enjin.

Enjin 155cc dengan teknologi VVA tersebut buat masa sekarang boleh dilihat pada model Yamaha YZF-R15 V3, dengan kuasa yang dihasilkan mencapai angka 19.3PS (14.2kW) @ 10,000rpm dan tork maksimum 14.7Nm @ 8,500rpm. Sebagai perbandingan, Yamaha Exciter 150 menghasilkan kuasa maksimum 15.4PS @ 8,500rpm dan tork 13.8Nm @ 7,000rpm. Dapat dilihat peningkatan kuasa dan tork yang begitu signifikan jika Exciter 150 menggunakan enjin 155cc VVA.

Paling menarik, enjin tersebut juga dikatakan menampilkan teknologi Assist & Slipper Cluth, sama seperti yang dimiliki oleh YZF-R15 V3, termasuklah sistem transmisi enam kelajuan. Oleh kerana ianya akan menggunakan enjin 155cc VVA, Yamaha Exciter 150 seterusnya dijangka akan dikenali dengan nama baharu Yamaha Exciter 155 VVA, atau mungkin juga nama lain yang difikirkan sesuai oleh pengeluarnya nanti.

Aspek teknikal lain juga tidak kurang hebatnya, apabila Exciter 155 VVA disebut-sebut akan didatangkan meter digital LCD baharu yang lebih canggih, sistem lampu LED sepenuhnya, suspensi depan jenis upside-down dan juga sistem brek ABS. Tidak dilupakan ialah penampilan baharu Exciter 155 VVA ini yang dikatakan bakal menerima rombakan di segenap bahagian untuk menjadikannya lebih sporty dan garang.

Baru-baru ini menurut maklumat dari Vietnam, ada kemungkinan Yamaha Exciter 155 VVA 2020 ini akan dilancarkan pada bulan Ogos tahun ini, namun kemudiannya berita itu dinafikan oleh pihak Yamaha Motor Vietnam sendiri.

Jika benar Yamaha Exciter 155 VVA akan dilancarkan pada tahun ini, bermakna pasaran Malaysia hanya akan menerima kehadiran model tersebut pada tahun hadapan. Namanya pula mungkin akan berubah, dan dijangka akan dikenali sebagai Yamaha Y155ZR. Oleh kerana pelbagai peningkatan baharu yang diperkenalkan, maka bersedialah untuk menerima tanda harga lebih tinggi.

Walaupun harganya dijangka akan mengalami peningkatan, namun percayalah, jualannya akan tetap laku keras seperti biasa. Pada pendapat anda, adakah spekulasi mengenai kemunculan Yamaha Exciter 155 VVA ini boleh dipercayai?

Sumber gambar dari Motosaigon.vn

(Visited 9,094 times, 2 visits today)