Benelli Leoncino 800 Trail hadir dengan perwatakan off-road

Model terbaharu Benelli Leoncino 800 merupakan sebuah model scrambler jalanan yang diperkenalkan secara rasmi pada penghujung tahun lepas. Pada masa yang sama, Benelli turut menaik taraf model tersebut kepada versi lebih lasak dengan perwatakan off-road, dengan memperkenalkan Benelli Leoncino 800 Trail.

Berbanding model standard, Leoncino 800 Trail kini hadir dengan roda depan berukuran 19 inci dan belakang 17 inci, masing-masing dipasangkan tayar Pirelli Scorpion Rally STR jenis knobby dalam siri 120/70 R19 dan 170/60 R17. Juga dapat dilihat sistem ekzos yang tampil dengan rekaan berkembar dan diletakkan pada posisi lebih tinggi.

Menurut Benelli, bahagian casis juga telah dikemaskini semula untuk mengharungi medan off-road yang lebih mencabar, dan kerangkanya (tubular trellis with steel plates) masih sama seperti versi jalanan bagi memastikan kawalan kekal mudah dan lincah.

Sementara itu, sistem suspensi telah mengalami peningkatan dengan kehadiran fork depan jenis upside-down berjenama Marzocchi yang mempunyai diameter 50 mm (with adjustable rebound, compression and pre-load), bersama-sama travel 140 mm yang lebih panjang berbanding 130 mm yang ada pada versi jalanan.

Suspensi tunggal belakang (central swinging arm with adjustable spring preload and rebound damping) juga telah dipertingkatkan dengan travel yang kini mencapai 140 mm. Seterusnya, ketinggian tempat duduk penunggang juga meningkat dari 800 mm yang ada pada Leoncino 800 kepada 818 mm untuk Leoncino 800 Trail.

Aspek pemberhentian masih disempurnakan oleh sistem brek Brembo dengan spesifikasinya masih sama seperti yang didapati pada Leoncino 800. Begitu juga dengan spesifikasi enjin yang tiada sebarang perubahan, 754cc twin-cylinder yang menghasilkan kuasa maksimum 81.6hp @ 9,000rpm dan tork 67Nm @ 6,500rpm.

Beralih ke elemen gaya dan kosmetik bagi membezakan di antara kedua-dua versi, Leoncino 800 Trail turut dilengkapi fairing kecil yang berada di atas lampu LED depan bersama-sama pelindung haba sisi yang melindungi bahagian ekzos. Di atas mudguard depan, tidak dilupakan ialah simbol singa yang kekal berdiri di atas tempatnya.

Berdasarkan maklumat terdahulu, Benellio Leoncino 800 Trail model tahun 2020 ini akan berada di pasaran mulai separuh kedua tahun ini.

(Visited 46 times, 1 visits today)