Adakah Benelli akan melancarkan model moped baharu dengan enjin lebih besar – 180cc atau 200cc?

Kira-kira setahun yang lalu, terdapat spekulasi bahawa Benelli sedang membangunkan enjin baharu untuk model moped keluarannya, kali ini dengan enjin bersesaran 200cc. Antara maklumat awal mengenai enjin tersebut ialah ianya akan hadir dengan ciri dua silinder, yang bakal menghamburkan kuasa lebih tinggi berbanding enjin 150cc.

Malangnya sehingga kini, spekulasi yang mengujakan itu seakan-akan telah terkubur kerana tiada sebarang maklumat susulan mengenainya. Bagaimanapun jika benar Benelli akan melancarkan model moped baharu dengan enjin lebih besar berbanding enjin 150cc, mungkin enjin daripada model naked Benelli 180S akan digunakan.

Benelli 180S ketika ini dipasarkan di beberapa pasaran luar negara, hadir dengan enjin berkapasiti 175.3cc satu silinder dengan kuasa maksimum 18PS (13kW) @ 9,000rpm dan tork 14Nm @ 7,000rpm. Enjin tersebut dilengkapi sistem suntikan bahan api EFI, tiga palam pencucuh dan dipadankan transmisi enam kelajuan. Sebagai perbandingan, enjin Benelli RFS150i ketika ini hadir dalam sesaran 149.8cc dengan kuasa maksimum 15.5hp (11.3kW) @ 8,500rpm dan tork 13Nm @ 7,000rpm.

Sebuah lagi enjin yang mungkin boleh digunakan ialah daripada model Benelli TNT 200 yang muncul buat pertama kali di EICMA 2017. Enjin satu silinder tersebut bersesaran 199.4cc yang menghasilkan kuasa maksimum 21.5bhp @ 9,500rpm dengan tork 18Nm @ 7,000rpm, yang kemudiannya digandingkan bersama transmisi enam kelajuan.

Seandainya benar Benelli sedang membangunkan model moped baharu dengan enjin yang boleh mencapai kapasiti sehingga 200cc, sudah tentu ini berita baik untuk peminat motosikal tempatan. Model tersebut pastinya akan memberikan saingan hebat kepada model-model lain seperti SYM VF3i, Honda RS150R dan juga Yamaha Y15ZR.

Sumber rujukan Benelli TNT 200 : Drive Spark & Solomoto

(Visited 229 times, 1 visits today)